Tawar 4,000 kursus TVET dalam satu portal

Zulkifli (dua dari kanan) menyampaikan gegantung program UP_TVET kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu pada Rabu.
Zulkifli (dua dari kanan) menyampaikan gegantung program UP_TVET kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Hampir 4,000 kursus Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan dalam portal Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) yang diperkenalkan pada Oktober 2023.

Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Timur, Zukifli Mat Daud berkata, kesemua kursus berkenaan membabitkan 1,624 institusi kemahiran teknikal di seluruh negara.

Menurut beliau, antara kursus popular ialah kimpalan, fesyen dan kulinari selain kursus automotif yang banyak memenuhi kebolehpasaran pekerjaan.

"Kerajaan menyasarkan kira-kira 500,000 pengguna portal berkenaan tahun ini dan setakat ini lebih 100,000 orang sudah melayarinya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Jerayawara UP_TVET: Sesi Bersama-sama Guru Bimbingan dan Kaunseling dan Guru TVET Sekolah Negeri Kelantan Tahun 2025 pada Rabu.

Beliau memberitahu, promosi secara berterusan di semua negeri melalui JPK wilayah bersama guru bimbingan dan kaunseling.

"Permohonan melalui portal ini juga semakin meningkat dan ramai berpeluang mengikuti latihan TVET," katanya lagi.

Jelas beliau, kerajaan menetapkan bahawa semua permohonan kemasukan ke institusi TVET di bawah 12 kementerian dan agensi swasta di seluruh negara diselaraskan di bawah UP_TVET.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, UP_TVET menyediakan dua kategori permohonan iaitu Perdana dan Fleksibel yang mana pemohon boleh memilih laluan sesuai dengan keperluan sama ada kursus jangka panjang atau pendek.

Zulkifli berkata, graduan TVET yang memasuki alam pekerjaan dengan memiliki kompetensi atau kemahiran khusus sesuai dengan pekerjaan akan menjadi pilihan utama majikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!