DBKL siap sedia hadapi banjir kilat

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini berada dalam keadaan bersiap siaga susulan hujan lebat yang melanda ibu negara.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, pemantauan rapi sedang dijalankan bagi menilai situasi semasa dan menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
"DBKL turut menasihati warga kota agar lebih berhati-hati dalam menjalankan aktiviti harian serta mematuhi arahan lalu lintas bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin," ujarnya dalam kenyataan.
Terdahulu media melaporkan antara kawasan dikenal pasti sebagai titik panas banjir kilat termasuk Jalan Syed Putra, Jalan Peel, Jalan Dutamas, Jalan Pahang, Jalan Maharajalela, Jalan Raja Chulan, Jalan Genting Kelang, Lorong Titiwangsa 11, Jalan Pahang Barat dan Jalan Tun Razak.
Namun, DBKL telah melaksanakan pelbagai langkah mitigasi, termasuk mempercepat projek tebatan banjir dan mempergiat kerja penyelenggaraan kolam takungan serta sistem saliran bandar.
Media turut melaporkan pihak berkuasa tempatan itu juga telah mengaktifkan bilik gerakan dengan pemantauan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berisiko tinggi 24 jam sehari.
Selain itu, Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022 telah dilancarkan dengan peruntukan sekitar RM10 juta, merangkumi 25 lokasi tumpuan banjir.
Kuala Lumpur ketika ini mengalami musim peralihan monsun sehingga menyebabkan hujan lebat hampir setiap hari yang mana purata hujan bulanan melebihi 260mm dengan lebih 20 hari hujan sepanjang April.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!