Penuntut IPT mengaku tidak bersalah amang seksual remaja 13 tahun

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.
Tertuduh, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Thalha Ba’chok @ Embok Mok.
Mengikut kertas pertuduhan, penuntut Tahun Satu Diploma Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat itu didakwa melakukan dua perbuatan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap mangsa.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di tepi jalan berhampiran sebuah pangsapuri di Kulai, Johor pada 15 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15(c) akta sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Isa Mohamad Basir.
Nor Fadilah memohon agar tiada jaminan diberikan, namun jika mahkamah menggunakan budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan bersama beberapa syarat tambahan.
Peguam tertuduh pula memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya masih menuntut dan ditanggung sepenuhnya oleh ibu yang bekerja sebagai guru, manakala bapa merupakan seorang peniaga.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

