[VIDEO] Bapa 4 anak bebas tuduhan edar dadah, terlepas hukuman gantung

A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang bapa kepada empat anak menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Fazilah Ngah, 42, sebelum ini berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa mengedar 73.86 gram methamphetamine pada 9 Jun 2022 di sebuah rumah di Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh (dua dari kiri) bersama peguam, Wan Zainuddin (dua dari kanan) di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Rabu.
Tertuduh (dua dari kiri) bersama peguam, Wan Zainuddin (dua dari kanan) di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Rabu.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan untuk melepas dan membebaskan tertuduh tanpa perlu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Difahamkan, tertuduh yang bekerja sendiri telah ditahan di Penjara Marang selama hampir tiga tahun sejak penahanan, memandangkan tiada jaminan dibenarkan bagi kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairuddin Idris mengetuai pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Wan Zainuddin Wan Musa dari Tetuan Wan Zainuddin & Co, Kuala Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!