Usahawan teknologi bunuh isteri, anak sebelum ditemui mati

NEWCASTLE (AMERIKA SYARIKAT) – Seorang usahawan teknologi kelahiran India dipercayai menembak mati isterinya dan salah seorang anak lelaki mereka sebelum membunuh diri dalam kejadian tragis di kediaman mereka di Newcastle, Washington, Khamis lalu.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Harshavardhana S Kikkeri, 57, isterinya Shwetha Panyam, 44, serta anak lelaki mereka berusia 14 tahun. Seorang lagi anak pasangan itu terselamat kerana tidak berada di rumah semasa kejadian.
Menurut kenyataan Pejabat Sheriff King County, siasatan awal mendapati insiden itu disyaki sebagai kes bunuh dan bunuh diri. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan motif pembunuhan belum dikenal pasti.
Beberapa laporan media tempatan menyebut seorang kanak-kanak dilihat dibawa keluar dari rumah tersebut oleh penyiasat, dipercayai anak pasangan terbabit yang terselamat. Identitinya masih belum didedahkan kepada umum.
Jiran keluarga itu menyifatkan mereka sebagai mesra namun jarang bergaul dan lebih banyak menyendiri.
Harshavardhana, berasal dari daerah Mandya, India, merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat robotik HoloWorld yang pernah beroperasi secara aktif di Mysuru, India. Isterinya juga merupakan pengasas bersama syarikat berkenaan.
Pasangan itu kembali ke India pada 2017 untuk mengembangkan syarikat tersebut, namun terpaksa menutup operasi pada 2022 akibat pandemik Covid-19. Mereka kemudian kembali menetap di Amerika Syarikat.
Pada puncak kerjayanya, Harshavardhana dilaporkan pernah bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi bagi membincangkan penggunaan robotik di kawasan sempadan strategik. Beliau juga pernah berkhidmat dengan syarikat teknologi terkemuka Microsoft di AS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!