Lelaki jatuh ke anak sungai ditemui meninggal dunia

TANGKAK – Seorang lelaki berusia 39 tahun yang dilaporkan terjatuh ke dalam anak sungai di Kampung Sawah Ring di sini, akhirnya ditemui tidak bernyawa kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan I (KUP), Johar Tumim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 tengah hari, Isnin, sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di tempat kejadian, kami dimaklumkan bahawa mangsa dipercayai terjatuh ke dalam anak sungai yang mempunyai kedalaman kira-kira 30 meter.
“Operasi pencarian dimulakan menggunakan sebuah bot nelayan dengan bantuan pihak polis, sebelum kami mendapatkan sokongan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Muar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pencarian terpaksa dihentikan sekitar jam 8 malam pada Isnin berikutan hujan lebat dan keadaan gelap di permukaan sungai.
Bagaimanapun, menurutnya, mangsa akhirnya ditemui orang awam pada jam 9.50 pagi Selasa dalam keadaan tidak bernyawa.
“Mayat kemudiannya diangkat ke dalam bot menggunakan pengusung dan dibawa ke darat untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
“Seramai 12 anggota bomba bersama tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS), serta beberapa utiliti lain terlibat dalam operasi tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

