Tolong jangan biarkan bola sepak Kedah terkubur - Penyokong

PENYOKONG setia Kedah Darul Aman (KDA) FC meluahkan rasa bimbang terhadap masa depan pasukan kesayangan mereka yang sedang bergelut dengan krisis kewangan serius sehingga berisiko terkeluar daripada saingan Liga Super musim hadapan.
Pemilik Puaka Jerai Fans Club (PJFC), Zulkifli Hashim, berkata, sukan tersebut merupakan hiburan utama bagi rakyat Kedah dan kehilangan pasukan ini dalam saingan Liga Super boleh memberi impak besar kepada semangat penyokong tegarnya.
Menurutnya, harapan kini disandarkan kepada pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan barisan pengurusannya yang sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam memenuhi syarat Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“Sebagai penyokong setia, kami akan berasa sangat hampa jika Kedah gagal beraksi dalam Liga Super musim depan. Bola sepak adalah hiburan rakyat negeri Kedah, jangan biarkan pasukan ini terkubur begitu sahaja,” katanya.

Zulkifli berkata demikian pada Majlis Aidilfitri NGO bersama Penyokong Hijau Kuning dan bekas pemain Kedah pada malam Selasa.
Beliau berharap pihak pengurusan dapat segera menyelesaikan masalah tunggakan gaji dan isu lain yang dihadapi pasukan, demi memastikan kelangsungan pasukan.
“Kami ingin pihak pengurusan berusaha keras untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini. Penyokong yang selama ini bersusah payah menyokong pasukan pasti akan kecewa jika pasukan ini lenyap,” tambahnya.
Seorang lagi penyokong tegar, Anuar Junaidi yang dikenali sebagai Styrio Hijau Kuning meluahkan kebimbangan terhadap nasib pemain muda dalam pasukan yang terjejas akibat ketidakstabilan yang berlaku.
“Bola sepak adalah hiburan nombor satu rakyat Kedah dan menjadi sukan yang mengeratkan silaturahim. Apa yang berlaku dalam pasukan ini memberi kesan kepada ramai pemain muda yang terpaksa mencari pasukan lain untuk meneruskan karier mereka,” katanya.
Menurutnya, beberapa pemain yang ditemui juga mengakui bahawa mereka tidak pasti mengenai masa depan pasukan, sekali gus menggambarkan keadaan tidak menentu dalam pasukan KDA FC.
Sebelum ini media melaporkan KDA FC kini difahamkan menghadapi krisis kewangan yang serius melibatkan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan berjumlah RM7 juta.
MFL telah memberikan tempoh hingga 30 April kepada pihak pengurusan Sang Kenari untuk menyelesaikan masalah berkenaan jika mahu kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.
Bagaimanapun, cabaran semakin besar untuk memastikan pasukan dapat bertahan dan terus beraksi apabila ramai pemain utama sudah meninggalkan pasukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!