Gelagat kanak-kanak pelat sebut huruf 'F' buat ramai terhibur

SHAH ALAM – Sebuah video memaparkan gelagat mencuit hati seorang kanak-kanak tadika di Johor menjadi tular di media sosial apabila dia keliru menyebut huruf 'F'.
Dalam rakaman pendek berdurasi 43 saat itu, guru kanak-kanak berkenaan meminta muridnya menyebut huruf 'F', namun sebutan yang keluar adalah 'S', disusuli dengan mimik muka lucu dan nada suara yang semakin perlahan, seolah-olah sedar dirinya tersilap.
Menurut ibunya, Nor Farah Jamil, 29, anak sulungnya, Muhammad Fahri Mikael Muhammad Faizal, 4, sememangnya mempunyai sedikit masalah pelat, namun menunjukkan perkembangan positif sejak mula bersekolah.
“Kami sekeluarga tidak terlalu risau dengan keadaannya dan percaya Mikael akan dapat menyebut huruf 'F' dengan betul tidak lama lagi, dengan sokongan berterusan daripada guru dan keluarga.

“Dia sebenarnya boleh menyebut 'F', cuma kadangkala jadi keliru. Kami yakin dengan masa dan latihan, dia pasti akan lebih yakin,” katanya kepada Sinar Harian.
Rakaman tersebut telah meraih tiga juta tontonan di aplikasi TikTok dan mengundang pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial.
Jelas Nor Farah, video itu pada asalnya dirakam oleh guru tadika berkenaan untuk dikongsikan kepada ibu bapa sebagai sebahagian daripada dokumentasi perkembangan pembelajaran anak-anak di sekolah.
“Kalau di rumah, dia leka bermain, jadi agak mencabar untuk saya ajar membaca. Sebab itu kami hantar ke sekolah supaya dia lebih fasih bercakap dan bergaul.
“Saya tidak sangka video itu akan tular, tetapi alhamdulillah, saya menerima banyak komen positif daripada warganet yang memberikan kata-kata semangat dan menyatakan bahawa setiap anak mempunyai kadar perkembangan yang berbeza,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
