Desakan agar Gibran digantikan

NAMPAKNYA Presiden Prabowo Subianto berhadapan dengan satu lagi cabaran yang serius. Kali ini Forum Purnawirawan Perajurit Tentera Nasional Indonesia (TNI) membuat 'penyataan sikap' menuntut lapan perkara daripada beliau.
Surat itu mewakili 267 orang mantan (purnawirawan) pimpinan tertinggi TNI daripada tentera darat, laut dan udara.
Mereka terdiri berpangkat kolonel hingga jeneral. Empat orang daripada kesemua cabang TNI mewakili kesemua yang terlibat, menurunkan tandatangan.
Mereka ialah Jeneral Fachrul Razi dan Tyasno Soedarto dari tentera darat, Laksamana Slamet Soebijanto dari tentera laut dan Marsekal Hanafie Asnan dari tentera udara.
Apa yang lebih memeranjatkan adalah nama Jeneral Try Sutrisno, yang juga pernah menjadi Panglima TNI. Beliau juga pernah memegang jawatan Wakil Presiden dari 11 Mac 1993 hingga 10 Mac 1998. Try Sutrisno adalah orang yang sangat dihormati dan dipandang tinggi oleh anggota TNI dan rakyat Indonesia.
Dalam surat itu beliau dicatatkan sebagai 'yang mengetahui' bermaksud turut menyokong tindakan itu.
Hal seperti ini jarang berlaku, terjadi kali ini sewaktu mantan pemimpin tentera sendiri menjadi presiden. Jawatan tertinggi Prabowo dalam tentera ialah Panglima Komando Cadangan Strategis Angkatan Darat (Kostrad) yang mempunyai kekuatan lebih 27,000 orang pada zaman pemerintahan bapa mertuanya ketika itu, Presiden Suharto.
Nampaknya mantan perwira tertinggi Indonesia menghantar mesej yang jelas kepada Prabowo bahawa keadaan Indonesia 'tidak baik-baik sahaja.'
Tuntutan yang dibuat oleh mereka tidak jauh bezanya dengan apa yang disuarakan selama ini oleh para ilmuwan, budayawan, anggota masyarakat sivil, wartawan dan rakyat Indonesia yang kritis.
Selama beberapa waktu sebelum Presiden Joko Widodo (Jokowi) melepaskan jawatan, banyak isu membabitkan perlembagaan, undang-undang, etika dan integriti dibangkitkan.
Kemuncaknya adalah Jokowi sendiri dia anggap salah seorang daripada lima orang pemimpin paling korup di dunia oleh the Organized Crime and Corruption Reporting Project (OCCRP).
Jokowi tidak tinggal diam walaupun tidak lagi menjadi presiden. Beliau masih kelihatan aktif dan membuat pelbagai kenyataan. Pengaruh beliau dalam pemerintahan Prabowo dikatakan masih kuat.
Tidak kurang 17 orang ahli kabinet Merah Putih Prabowo adalah mantan anggota kabinet Jokowi. Sehingga hari ini Prabowo masih menunjukkan rasa terhutang budinya pada Jokowi. Malah cakap-cakap tentang 'matahari kembar' yang bermaksud terdapat dua presiden yang memerintah banyak kedengaran.
Amat menarik apa yang dituntut oleh mantan perwira TNI itu. Yang pertama adalah agar kerajaan Prabowo kembali pada semangat Undang-Undang Dasar 1945 dalam 'tata hukum dan tata tertib pemerintahan.' Ini jelas menempelak kerosakan yang telah dilakukan oleh Jokowi selama 10 tahun pemerintahannya.
Mereka juga menyokong semua program kerja kabinet Merah Putih tetapi menolak penerusan projek Ibu Kota Negara (IKN), Nusantara.
Tuntutan ketiga adalah menghentikan projek strategis nasional (PSN) khususnya yang dikaitkan dengan Projek Indah Kapuk 2 (PIK2) di Banten. PSN ini dikatakan disalahgunakan dan tidak memanfaatkan rakyat malah menindas mereka selain menyebabkan kerosakan alam sekitar yang teruk.
Tuntutan keempat adalah untuk menghentikan dan menghantar pulang tenaga kerja dari China di Indonesia. Selanjutnya mereka menuntut agar kegiatan perlombongan 'ditertibkan' memandangkan banyak berlaku kerosakan alam dan rasuah dalam sektor ini.
Tuntutan keenam membabitkan rombakan para menteri yang disyaki terbabit dengan rasuah serta mengambil langkah tegas pada mana-mana pegawai kerajaan yang masih terikat dengan kepentingan mantan Presiden Jokowi.
Mereka juga mendesak agar Kepolisian Republik Indonesia (Polri) kembali pada tugas kamtibmas (keamaan dan ketertiban masyarakat) di bawah Kementerian Dalam Negeri (Kemendagri).
Tuntutan ini disebabkan Polri mulai dilabelkan sebagai Parcok (Parti Cokelat) yang dikatakan digunakan secara terang-terangan untuk membantu cita-cita politik Jokowi dan dinastinya.
Tuntutan paling mengejutkan adalah yang kelapan, meminta Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) membawakan usul untuk menggantikan Wakil Presiden, Gibran Rakabuming Raka, anak Jokowi.
Menurut para mantan perwira TNI itu, keputusan Mahkamah Konstitusi (MK) membenarkan Gibran bertanding dalam pilihan raya 2022 adalah bertentangan dengan acara MK dan undang-undang kekuasaan kehakiman.
Keputusan MK menurunkan ambang usia daripada 40 tahun menjadi 36 semata-mata bagi membolehkan Gibran bertanding jawatan Wakil Presiden tidak dapat dimaafkan.
Lebih buruk lagi oleh sebab Presiden MK pada masa itu ialah bapa saudara Gibran sendiri, Anwar Usman. Keputusan MK adalah muktamad. Tetapi Majlis Kehormat Mahkamah Konstitusi (MKMK) telah memutuskan bahawa Anwar dilucutkan dari jawatannya oleh sebab pelanggaran etika yang serius.
Setakat ini Prabowo sendiri tidak memberikan reaksi sebaliknya Penasihat Khusus Presiden Bidang Politik dan Keamanan, Wiranto berdepan dengan media. Wiranto yang pernah menjadi Ketua TNI menyatakan bahawa Prabowo sendiri 'menghargai dan memahami tuntutan itu'.
Prabowo kini menghadapi pelbagai cabaran, khususnya ekonomi dan tekanan tarif dari Amerika Syarikat. Sayang sekali beliau juga harus mewarisi masalah dari era Jokowi, termasuk hutang negara yang melambung. Terlalu banyak kritikan ke atas pemerintahannya yang belum mencecah enam bulan.
Sudah tentulah tuntutan mantan perwira kanan TNI ini tidak boleh dikesampingkan. Seperti kata Wiranto, masalah yang dibangkitkan itu 'tidak ringan'.
Ramai orang masih percaya Prabowo boleh menangani semua dugaan itu. Tetapi yang tambah membebaninya adalah hutang budinya pada orang yang dianggap mentor politiknya.
Tetapi apakah beliau akan membenarkan beban hutang budi itu menghambat usaha untuk membawa negaranya pada era 'Indonesia Emas' seperti yang dijanjikannya?
*Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang budaya dan politik Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

