Graduan hadiri lebih 50 temu duga gagal dapat pekerjaan

IPOH - Impian seorang graduan pengurusan perniagaan membina kerjaya kukuh terkubur kerana terpaksa bergelut melakukan pelbagai kerja demi kelangsungan hidup.
Khairul Akmal Razali, 32, berkata, lebih 50 sesi temu duga telah hadirinya namun gagal mendapatkan pekerjaan selepas enam tahun meninggalkan alam universiti.
"Setiap kali menghadiri temuduga, antara jawapan yang saya terima adalah tidak mampu bayar sebab ada ijazah.
"Malah, setiap tahun membuat permohonan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) tetapi masih tidak dipanggil," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Muka hadapan Sinar Harian, 'Dilema graduan kemahiran tinggi, peluang kerja tidak banyak' melaporkan sebanyak 1.95 juta graduan berpendidikan tinggi di negara ini bekerja dalam bidang yang tidak setara kelayakan dan kemahiran dimiliki.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, komitmen yang tinggi menyebabkan dia memilih kerja sebagai penghantar makanan dan peniaga pasar malam.
"Tambahan lagi beban hutang pendidikan ketika sambung pelajaran di peringkat diploma dan ijazah yang perlu dibayar.
"Sebenarnya saya tidak kisah ditawarkan gaji rendah asalkan mempunyai waktu kerja yang fleksibel dan tetap tetapi sehingga kini masih belum ada rezeki," katanya.
Khairul Akmal berkata, minat dalam perniagaan itu diteruskan dengan menjual sambal goreng garing secara kecil-kecilan di Station 18.
"Saya masih mencari ruang dan peluang dalam apa jua bentuk pekerjaan sambil terus berusaha memperkukuh perniagaan kecil kami demi kelangsungan hidup keluarga.
"Walaupun ada ijazah, saya sanggup melakukan apa saja kerja demi teruskan kehidupan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!