KK Supermart di Universiti Malaya disimbah cat merah

SHAH ALAM - Salah sebuah cawangan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur menjadi mangsa vandalisme apabila pintu premis tersebut disimbah cat merah pada Selasa.
Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Lim Jing Jet berkata, tindakan khianat yang dilakukan oleh pihak tidak dikenali belum dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan kontroversi penjualan produk sandwic ‘ham and cheese’ baru-baru ini.
“Kejadian ini menimbulkan kebimbangan serius tentang keselamatan kampus. Jika kedai rantaian seperti KK Mart pun boleh dirosakkan dalam kawasan kampus, apakah ini membayangkan keselamatan kawasan lain dan kesejahteraan pelajar?
“Universiti mesti mengambil langkah konkrit untuk meningkatkan keselamatan, seperti memasang lebih banyak kamera pengawasan, meningkatkan rondaan dan bekerjasama dengan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) untuk mewujudkan persekitaran kampus lebih selamat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, UM menutup dua premis jualan runcit 24 jam serta-merta berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwic yang dikatakan mempunyai unsur daging babi.
UM dalam satu kenyataan memaklumkan, arahan penutupan dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan yang dilaksanakan untuk mengesahkan dakwaan tersebut tidak terganggu.
Menurutnya, pihak universiti juga digesa agar menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut bagi memastikan pelakunya dibawa ke muka pengadilan.
“Isu ini bukan sahaja membabitkan KK Mart tetapi juga setiap pelajar di UM, kerana tiada siapa yang tahu siapa yang mungkin menjadi mangsa seterusnya,” ujarnya.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, makluman kejadian diterima pihaknya berdasarkan laporan yang dibuat pada jam 8 pagi.
Katanya, siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankandi bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!