Mustakim Mohamad dilantik Pengarah Urusan Kumpulan, CEO TH baharu

Mustakim. Foto fail Bernama
Mustakim. Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji yang baharu, berkuat kuasa 6 Mei ini.

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada Selasa bagi menggantikan Datuk Syed Hamadah Syed Othman.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Mustakim adalah selari dengan falsafah TH untuk terus menerajui kecemerlangan dalam semua aspek demi manfaat para pendeposit.

"Ini termasuk mengurus cabaran operasi dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu serta peningkatan kos perkhidmatan pihak ketiga seperti penerbangan, penginapan dan perubatan.

"Pertimbangan dalam melantik kepimpinan yang berwibawa amat penting memandangkan ciri-ciri TH sebagai sebuah organisasi yang mengendalikan amanah besar," jelas kenyataan tersebut.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut memaklumkan bahawa pelantikan Mustakim adalah berdasarkan pengalaman serta keupayaannya dalam merealisasikan wawasan TH ke peringkat yang lebih tinggi.

"Perjalanan kerjaya Mustakim di TH mencecah hampir 20 tahun dan merangkumi pelbagai peranan kepimpinan dalam bidang kewangan, pelaburan, perkhidmatan deposit, operasi, teknologi maklumat serta keselamatan.

"Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan. Beliau memiliki Ijazah Sarjana dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia dalam jurusan kewangan serta merupakan ahli Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA)," menurut kenyatan itu.

Dalam pada itu, penghargaan turut dirakamkan kepada Syed Hamadah yang akan menamatkan kontrak beliau pada 5 Mei 2025, selepas berkhidmat selama dua tahun sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO TH.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu menambah bahawa kepimpinan baharu ini akan menekankan pendekatan yang proaktif dan berinovatif dalam perancangan TH agar terus menjadi institusi Islam yang beroperasi secara mampan untuk jangka panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!