PGA rampas barangan sejuk beku bernilai lebih RM480,000

Shahrum (tengah) pada sidang media pada Selasa. Foto Bernama
Shahrum (tengah) pada sidang media pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PADANG BESAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 41,800 kilogram (kg) kaki ayam dan hati ayam sejuk beku bernilai RM481,200 yang dipercayai tidak mempunyai Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dalam serbuan di sebuah gudang di kawasan perindustrian Padang Besar semalam.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, serbuan kira-kira jam 7 malam itu dilakukan Unit Risikan Batalion 1 Briged Utara PGA selepas dua minggu melakukan risikan dan pemantauan sekali gus membawa kepada penahanan dua lelaki warga Thailand berusia 21 dan 34 tahun.

"Hasil pemeriksaan awal menemukan 1,400 kg ubi kentang yang mempunyai dokumen sah dan dipercayai digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa manakala pemeriksaan lanjut menemui 31,600 kg kaki ayam dan 10,200 kg hati ayam,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Anggota Pasukan Gerakan Am bersama sebahagian kaki ayam dan hati ayam yang dirampas tanpa Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dalam serbuan dilakukan di sebuah gudang tanpa alamat sekitar kawasan Perindustrian Padang Besar semalam. Foto Bernama
Anggota Pasukan Gerakan Am bersama sebahagian kaki ayam dan hati ayam yang dirampas tanpa Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dalam serbuan dilakukan di sebuah gudang tanpa alamat sekitar kawasan Perindustrian Padang Besar semalam. Foto Bernama

Beliau berkata, barangan tersebut didapati dibungkus secara tidak sempurna dan berada dalam keadaan tidak bersih serta masih menitik air yang boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan.

"Hasil pemerhatian mendapati modus operandi suspek dipercayai menyerupai sistem pesanan dan pengambilan secara dalam talian (self-pickup), dengan kawasan gudang yang tertutup dan tidak mencurigakan walaupun terletak berhampiran jalan utama.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki Thailand itu juga tidak mempunyai permit kerja sah dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar sementara barangan sejuk beku itu pula akan diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

Shahrum berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua kenderaan, lima kontena, ubi kentang, barangan sejuk beku itu dan forklift daripada gudang itu bernilai RM1.893 juta.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan Akta Imigresen 1959/63 serta siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pemilik premis serta kemungkinan wujud rangkaian lebih besar merentasi sempadan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!