[VIDEO] Najib tak ada duit, tidak bayar RM50 juta hari ini - Peguam

A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempunyai kemampuan untuk membayar denda RM50 juta yang dikenakan sebagai syarat pengampunan bersyarat, kata peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas khabar angin yang mendakwa bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu akan melunaskan bayaran berkenaan selepas solat Jumaat.

Menurut Muhammad Shafee, Najib tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi berikutan akaun bank miliknya telah dibekukan.

“Ada yang kata Najib kaya dan mempunyai banyak wang. Ramai juga bertanya kepada saya mengapa Najib sendiri tidak membayar RM50 juta itu.

“Sedangkan Najib tidak mempunyai wang kerana akaun banknya telah dibekukan, termasuk akaun di Affin Bank yang digunakan untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen,” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat.

Najib (kiri) tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi berikutan akaun bank miliknya telah dibekukan.
Najib (kiri) tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi berikutan akaun bank miliknya telah dibekukan.

Ketika ditanya sama ada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ada memaklumkan perkembangan berkaitan usaha pengumpulan dana bagi membantu menjelaskan denda tersebut, Muhammad Shafee berkata, pihak peguam tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Tidak, saya juga tidak bertanya dan tidak mengetahui mengenai khabar angin tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Ada desas-desus mengatakan saya akan membuat bayaran hari ini, malah saya mengetahui perkara itu daripada pihak media.

“Saya tidak tahu, tetapi pihak media nampaknya lebih mengetahui,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa jumlah sumbangan yang dikumpulkan bagi membantu Najib membayar denda tersebut bukan dalam pengetahuannya kerana perkara berkenaan berada di luar bidang kuasa pasukan peguam.

Pada 18 September lalu, Najib menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64 yang berlangsung pada tarikh sama.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat tersebut tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.

Najib juga dikehendaki mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pengampunan bersyarat itu terbatal serta baki hukuman penjara perlu diteruskan.

Terdahulu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 mensabitkan beliau atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya dan mengekalkan sabitan serta hukuman tersebut sebelum beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada hari yang sama.

Najib kemudian mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022 dan permohonan itu dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024.

Pada 2 Februari 2024, BHEUU mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!