'Abang long buat semua demi mama' - Pelajar 10A SPM

Isma Daniel menunjukkan keputusan cemerlang 10A yang diperoleh dalam peperiksaan SPM 2024.
Isma Daniel menunjukkan keputusan cemerlang 10A yang diperoleh dalam peperiksaan SPM 2024.
A
A
A

KLANG - Di sebalik pencapaian cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, tersimpan kisah menyentuh hati seorang anak yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi keluarga tercinta.

Demikian kisah Isma Daniel Khairul Syakirin, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah di sini yang boleh dijadikan inspirasi selepas diumumkan sebagai antara penerima Hadiah Kecemerlangan SPM Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) tahun ini.

Anak sulung daripada enam beradik itu bukan sahaja menanggung beban pelajaran, malah memikul tanggungjawab sebagai tulang belakang keluarganya sejak pemergian ayah tercinta, Khairul Syakirin Abdul Wahab yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19 pada Mac 2022.

Menurut ibunya, Noor Syahida Mohd Suyud, 42, Isma Daniel sering mendahulukan keperluan keluarga meskipun berhadapan tekanan akademik yang tinggi.

“Dia sanggup bangun seawal 4 pagi setiap hari untuk bantu saya buat kuih sebelum ke sekolah,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di rumah mereka di Kampung Tok Muda, Kapar.

Ismail Sabri (kanan) menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada Isma Daniel.
Ismail Sabri (kanan) menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada Isma Daniel.

Lebih menyentuh hati, jelasnya, kata-kata Isma Daniel sebelum menduduki SPM kekal tersemat dalam ingatannya.

"Abang long buat semua ini untuk mama. Abang long rasa separuh mati belajar untuk dapat keputusan yang baik, minta doa mama agar abang long berjaya. Itu kata-kata Isma Daniel kepada saya,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Kisah Isma Daniel membuktikan bahawa kejayaan bukan semata-mata hasil kepintaran, tetapi juga kekuatan semangat dan keikhlasan pengorbanan.

Walaupun pernah ketinggalan dalam pelajaran selepas berpindah sekolah, beliau bangkit dengan tekad luar biasa, memohon untuk menyertai kelas tambahan demi memperbaiki prestasi.

YKM mengiktiraf pencapaian luar biasa ini melalui penganugerahan Hadiah Kecemerlangan SPM 2024 kepada enam pelajar asuhan mereka termasuk Isma Daniel.

Bantuan berbentuk wang tunai dan keperluan asas turut disampaikan termasuk periuk nasi dan periuk elektrik serbaguna untuk kegunaan keluarga.

Selain Isma Daniel, lima pelajar lain turut diraikan iaitu Aila Batrisyia Abu Hassan dari MRSM Balik Pulau yang memperoleh 9A, Irene Hung Xin Yi dari SMK Bandar Sibu (9A), Wan Mohd Afiq Danish Mohd Nasir dari MRSM Kuantan (7A), Muhammad Afiq Irsyad Mohd Norhasmin dari SMJK Tanchai Puteh (7A) dan Nur Najma Najihah Sakarwa dari SMKA Tuan Ahmad Zaidi (6A).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pencapaian pelajar-pelajar ini membuktikan bahawa bantuan yang disalurkan YKM selari dengan misinya untuk memastikan pendidikan anak-anak yatim terus terbela.

“Mereka adalah bukti bahawa semangat juang dan kasih sayang dalam keluarga mampu mengubah nasib seseorang,” katanya ketika ditemui pemberita.

Bagi Noor Syahida, yang hanya berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan, bantuan daripada YKM termasuk bantuan Kasih dan hadiah kecemerlangan ini menjadi penyambung harapan buat pendidikan anak-anaknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!