Beras Melaka RM26 mula dijual, sekampit untuk satu keluarga sahaja

MELAKA - Rakyat tempatan bakal menikmati Beras Melaka pada harga RM26 sekampit bagi setiap 10 kilogram (kg) yang akan dijual sebanyak 4,000 kampit pada peringkat permulaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jualan Beras Melaka boleh dibeli di empat lokasi berbeza iaitu pasar tani, Agrobazaar Kedai Rakyat, Program Jualan Agro MadaniI dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Menurutnya, kesemua lokasi berkenaan dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan lokasi jualan akan sentiasa dikemas kini bergantung kepada jadual aktiviti FAMA Melaka.
"Setakat ini ia b9oleh diperoleh di enam lokasi pasar tani iaitu Alor Gajah, Masjid Tanah, Lubok Cina, Merlimau, Jasin dan Selandar.
"Selain itu, Beras Melaka juga boleh didapati di 28 Agrobazaar Kedai Rakyat di seluruh Melaka," katanya ketika sidang akhbar Majlis Pelancaran Beras Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Selasa.
Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Sementara itu, Muhamad Akmal berkata pembelian Beras Melaka dihadkan sekampit untuk satu keluarga dan syarat had pembelian hanya sementara menunggu pengeluaran beras pada fasa kedua.
Ujar beliau, pengeluaran beras fasa kedua dijangka meningkat hingga lima kali ganda.
"Buat sementara waktu kita hadkan pembelian sekampit Beras Melaka bagi satu keluarga dan dilarang dijual kepada warga asing.
"Untuk pembelian, pembeli akan diminta menunjukkan kad pengenalan bagi tujuan pengesahan sekiranya perlu," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

