Ekonomi Sabah berkembang positif, selari pertumbuhan KDNK nasional - Hajiji

Hajiji ketika mempengerusikan mesyuarat MTPNg di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu pada Selasa.
Hajiji ketika mempengerusikan mesyuarat MTPNg di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Ekonomi Sabah terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM82.1 bilion pada tahun 2022 kepada RM83.2 bilion pada 2023, dengan unjuran bagi tahun 2024 sebanyak RM84.9 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu selari dengan pertumbuhan KDNK nasional yang dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus menerusi Rangka Kerja Ekonomi Madani di bawah Belanjawan Nasional 2025.

"Ini menunjukkan momentum peningkatan berterusan dan perkembangan positif di Sabah," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu pada Selasa.

Hajiji berkata, pencapaian tersebut juga adalah hasil kerjasama erat daripada semua pihak di negeri ini.

"Jika kita terus menyumbang tenaga kita secara positif melalui kerjasama yang erat, tidak mustahil untuk melaksanakan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya kita dengan jayanya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua agensi berkaitan supaya memastikan pelaksanaan inisiatif dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya diperkasa bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

Tambah beliau lagi, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan negeri telah merangka Hala Tuju Pembangunan Strategik Negeri sebagai langkah proaktif untuk memacu pembangunan Sabah bermula 2026 hingga 2030.

"Ia juga merupakan kerangka awal yang mengambil kira keperluan dasar, blueprint dan pelan pembangunan semasa.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai inisiatif akan diwujudkan merangkumi penerokaan inisiatif Ekonomi Biru selain setiap agenda pembangunan negeri di bawah RMK13," katanya.

Bagaimanapun, Hajiji mengingatkan semua pihak supaya tidak berasa selesa dengan kejayaan yang dicapai setakat ini melalui Hala Tuju SMJ.

"Kita mesti terus bekerja keras dan lebih proaktif. Semua kepimpinan negeri, ketua jabatan dan ketua peringkat daerah mesti lebih kerap turun padang untuk memantau pelaksanaan program atau projek yang sedang berjalan.

"Ini penting untuk memastikan setiap program dilaksanakan dengan baik dan menyeluruh dan pada tahun ini sebanyak 1,265 projek dan program mesti diselesaikan di Sabah.

"Jadi semua agensi pelaksana mesti sentiasa memantau kemajuan projek-projek ini dan memastikan ia diselesaikan mengikut jadual," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sabah merupakan antara penerima tertinggi dalam Belanjawan Nasional tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM6.7 bilion daripada Kerajaan Persekutuan.

"Ini membuktikan bahawa suara rakyat dan pemimpin Sabah didengari di peringkat persekutuan. Ia juga menunjukkan bahawa kami sangat serius dan akan berusaha untuk meningkatkan pembangunan negeri.

"Kita mesti melakukan perubahan paradigma untuk memastikan kejayaan semua rancangan kita. Kita juga perlu menanggalkan proses yang usang dan mengubah sikap yang memberi tumpuan kepada negatif tanpa menilai atau mengiktiraf kejayaan atau sumbangan yang dibuat kepada negeri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!