Bekalan elektrik di Sepanyol, Portugal pulih secara berperingkat

MADRID - Bekalan elektrik di Sepanyol dan Portugal mula pulih secara berperingkat selepas gangguan besar melumpuhkan hampir keseluruhan Semenanjung Iberia.
Insiden yang berlaku pada malam Isnin itu menyebabkan ribuan penduduk terkandas dalam kereta api dan lif selain terputus akses telefon serta internet.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata, hampir separuh daripada bekalan elektrik di negara itu berjaya dipulihkan sebelum awal pagi Selasa.
Menurutnya, sehingga kini punca sebenar gangguan tersebut masih belum dikenal pasti walaupun telah tersebar dakwaan mengenai serangan siber di aplikasi media sosial.
“Orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana boleh menyebabkan penularan maklumat tidak sahih.
“Semua kemungkinan kejadian ini berlaku sedang dianalisis secara terperinci. Pihak berkuasa kedua-dua negara juga giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut,” katanya.
Sebelum ini, bekalan elektrik di seluruh Sepanyol dan Portugal terputus sekitar 12.30 tengah hari waktu tempatan pada Isnin menyebabkan perkhidmatan kereta api terhenti.
Tambah Sanchez, kira-kira 15 gigawatt tenaga elektrik dimana lebih separuh daripada penggunaan semasa hilang secara tiba-tiba dalam tempoh kira-kira lima saat.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberi jangka masa pemulihan sepenuhnya bekalan elektrik di Sepanyol dan mengumumkan sebilangan pekerja dibenarkan cuti pada Selasa.
Beliau turut menyifatkan insiden berkenaan sebagai kerugian ekonomi yang bersar kepada negara khususnya melibatkan perniagaan, industri dan syarikat.
Dalam perkembangan lain, Majlis Keselamatan Nuklear Sepanyol (CSN) memaklumkan semua loji janakuasa nuklear negara itu dimatikan secara automatik sebagai langkah keselamatan, dengan penjana diesel digunakan untuk memastikan keadaan loji berada dalam tahap selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!