Lori potong garisan berkembar hampir cetus kemalangan

NILAI – Sebuah lori membawa muatan batu hampir bertembung dengan sebuah kenderaan lain selepas memotong secara berbahaya di laluan berkembar di Jalan Labu-Gadong di sini, pada Isnin.
Video insiden itu dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan dan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas video tersebut tular sekitar jam 10.40 pagi.
"Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan sebuah lori jenis CAMC dipandu lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an yang dalam perjalanan dari Kuari Labu menuju ke Banting, Selangor untuk menghantar muatan batu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, lori tersebut memotong sebuah kenderaan di hadapannya di garisan berkembar sebelum hampir melanggar sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
"Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian terbabit," katanya.
Tambah Abdul Malik, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
Beliau berkata, pemandu lori tersebut telah dikenal pasti dan dirakam percakapan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah) atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Zakaria Mohamad Jais di talian 019-6990142.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!