Warga emas melintas jalan maut dilanggar lori

Seorang warga emas maut dilanggar lori ketika melintas jalan di Jalan Dedap 1, Taman Johor Jaya, pagi Ahad. Foto hiasan
Seorang warga emas maut dilanggar lori ketika melintas jalan di Jalan Dedap 1, Taman Johor Jaya, pagi Ahad. Foto hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas maut dilanggar lori ketika melintas jalan di Jalan Dedap 1, Taman Johor Jaya, pagi Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan maut itu kira-kira jam 9.45 pagi.

"Kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dan seorang lelaki berusia 72 tahun.

"Siasatan awal mendapati ketika pemandu lori bergerak lurus dari arah Jalan Dedap 1 menghala ke Mount Austin, mangsa tiba-tiba melintas jalan dari arah kanan menyebabkan pemandu lori tidak sempat menekan brek lalu melanggar mangsa.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori mendapati keputusannya negatif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak polis, katanya, telah membuat tangkapan terhadap pemandu lori dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!