Lori bawa muatan pasir terbakar ketika bergerak

JOHOR BAHRU – Sebuah lori yang membawa muatan pasir terbakar ketika sedang bergerak di Jalan Sungai Tiram, Batu 19 di sini pagi tadi.
Menurut Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan 2, Saiful Bahri Mahpop dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Johor Jaya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian 9.21 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera perkhidmatan, penyelamatan, perawatan, kecemasan (EMRS) dan sembilan anggota bomba telah dihantar ke tempat kejadian sejauh 27 kilometer (km).
“Setibanya ke tempat kejadian pada jam 9.45 pagi sebuah lori jenis Mohan terbakar di bahagian karbon bateri dan wayar.

“Keadaan berlaku dalam keadaan bergerak dan telah memusnahkan satu peratus lori berkenaan.
“Bagaimanapun kebakaran telah dipadamkan oleh pemandu lori serta orang ramai menggunakan empat unit alat pemadam api sebelum bomba tiba,” katanya.
Anggota bomba di lokasi kemudiannya membuat pemantauan bagi memasatikan keadaan benar-benar terkawal.
Operasi tamat jam 10.10 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!