Lelaki ditahan sebabkan pencemaran LRA Sungai Linggi

SEREMBAN - Seorang lelaki yang juga pemilik premis yang menjalankan aktiviti penjualan minyak bahan bakar untuk kegunaan industri ditahan selepas disyaki menyebabkan pencemaran Loji Rawatan Air(LRA) Sungai Linggi.
Suspek berusia 31 tahun itu ditahan selepas sehari laporan berkenaan pencemaran terbabit diterima.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, polis menerima laporan kejadian pada 24 April lalu jam lebih kurang 7.21 malam.
"Seorang lelaki yang juga merupakan Pegawai Eksekutif Pengeluaran Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) telah membuat laporan tentang satu laporan diterimanya daripada operator loji berkenaan pencemaran air sungai.
"Ia setelah dia mendapati terdapat tumpahan minyak di LRA tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar juga telah pun mengambil sampel air di loji terbabit dan telah membuat pengesahan bahawa air tersebut selamat digunakan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!