[VIDEO] Jemaah haji perlu patuhi had muatan bagasi

A
A
A

MADINAH – Jemaah haji perlu mematuhi had muatan bagasi yang telah ditetapkan syarikat penerbangan supaya tidak timbul kesulitan ketika menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanah Suci.

Pengurus Terminal Madinah, Muhammed Fairus Ahmad Aripin berkata, bagasi yang terlalu berat akan menyukarkan ia diangkat pihak petugas dan muatan terlebih boleh menyebabkan risiko kepada pesawat penerbangan.

Menurutnya, jemaah juga diingatkan tidak membawa barang-barang terlarang seperti yang ditetapkan.

“Terutamanya seperti power bank yang tidak boleh diletakkan dalam bagasi didaftar masuk.

“Ini termasuklah barangan berbahaya yang boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya ketika sidang akhbar di lobi Hotel Roha Al Madinah pada pagi Isnin waktu tempatan.

Muhammed Fairus yang menguruskan bagasi dan jemaah haji dari terminal lapangan terbang ke hotel penginapan di Madinah berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menetapkan saiz atau bentuk beg yang boleh dibawa oleh jemaah.

“Hanya beg yang dibawa ke kabin berbentuk seragam namun dari tanah air lagi sudah ada tanda pengenalan mengandungi maklumat peribadi jemaah di beg dan bagasi.

Artikel Berkaitan:

Jemaah haji perlu mematuhi had muatan bagasi yang telah ditetapkan syarikat penerbangan supaya tidak timbul kesulitan ketika menaiki pesawat. Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: MUHAMMED FAIRUS)
Jemaah haji perlu mematuhi had muatan bagasi yang telah ditetapkan syarikat penerbangan supaya tidak timbul kesulitan ketika menaiki pesawat. Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: MUHAMMED FAIRUS)

Ditanya cabaran mungkin dihadapi oleh pasukannya yang terdiri daripada 14 petugas, Muhammed Fairus berkata, antaranya adalah bagasi mungkin terlambat sampai di tempat pengumpulan atau ia tercicir di kumpulan negara-negara yang lain.

“Kes macam ini ada setiap tahun namun, biasanya petugas akan dapatkan ia kembali. Insya-ALLAH bagasi-bagasi yang tersasar akan dijumpai semula.

“Jika jemaah berdepan dengan isu beg tertukar dan sebagainya mereka boleh laporkan kepada pengurus maktab ataupun pengurus zon untuk kita cari bagasi ini. Kemungkinan besar bagasi berada dalam bangunan yang sama sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, jemaah yang ingin membawa makanan tambahan perlu memastikan ia dibalut dengan rapi supaya tidak berlaku tumpahan ataupun menyebabkan masalah lain.

“Pasukan kami yang berpengalaman akan pastikan bagasi ini dikendalikan dengan baik dan jumlahnya mencukupi seperti yang didaftar masuk di Kuala Lumpur.

“Jemaah sudah diberitahu menerusi kursus-kursus haji sebelum ini bahawa sampai sahaja di lapangan terbang mereka terus dibawa ke hotel dan bagasi sudah sedia menanti di bilik penginapan masing-masing,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!