Yasin tidak lagi bermalam di tirai besi, kembali ke Hospital Bahagia

PUTRAJAYA – Abang kepada penyanyi Yasin Sulaiman memberitahu bahawa adiknya tidak perlu lagi bermalam di tirai besi, sebaliknya kembali ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh diperkenankan Sultan Selangor.
Zain, 53, berkata, keputusan Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin merupakan detik yang paling bermakna buat keluarga.
“Pagi tadi, Yasin sempat meluahkan perasaan dan dia kata telah bersedia dengan keputusan yang akan diputuskan mahkamah.
“Sepanjang di penjara pula, banyak yang dia luahkan, tapi tunggu sahajalah, semuanya akan diceritakan dalam bukunya kelak, mungkin capai 13 bab,” kata Zain sambil ditemani ibu bapa dan anak perempuan Yasin yang berusia 17 tahun.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir memberi sokongan moral kerana ia merupakan antara kekuatan yang amat bermakna buat Yasin dan keluarga.
Selepas dijel selama tiga tahun, komposer itu menarik nafas lega apabila terlepas hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, melibatkan tiga kes dadah.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mengikut tempoh perkenan Sultan Selangor.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas menerima rayuan terakhir Yasin, 50, selaku perayu dengan mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Selepas keputusan dibacakan, penyanyi lagu ‘Mimpi Laila’ itu melemparkan ‘flying kiss’ kepada ahli keluarga dan peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, atas kejayaan tersebut.
Mendengar keputusan itu, riak wajah ahli keluarga termasuk anak perempuannya yang berusia 17 tahun jelas tersenyum.
Salah seorang abangnya turut melakukan sujud syukur di galeri awam mahkamah.
Semasa membaca keputusan sebulat suara, Hakim Che Mohd Ruzima berkata mahkamah mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang melepaskan dan membebaskan Yasin.
Pada 22 Ogos 2024, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.
Hakim Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Yasin oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November 2023.
Bagi kes memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, komposer itu dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan.
Bagi kes menanam 17 pokok kanabis pula, duda anak dua itu dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan, manakala bagi kes memberikan dirinya dadah berbahaya, dia dijel selama 10 bulan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan itu berjalan serentak dari tarikh tangkap, 24 Mac 2022.
Susulan keputusan berkenaan, Yasin yang sebelum ini ditempatkan di Hospital Bahagia selama tempoh diperkenankan Sultan Selangor, segera digari oleh pihak polis dan dibawa ke Penjara Kajang.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Yasin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun serta boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi kes kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang daripadanya diperoleh kanabis secara terus atau tidak langsung di tempat, waktu dan tarikh sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 11.05 malam, pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan dan membebaskan Yasin atas tiga kes dadah itu, namun mahkamah mengarahkan dia ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia mengikut tempoh perkenan Sultan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!