Pengadil final Piala Malaysia buat keputusan tepat - FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mempertahankan prestasi pengadil Razlan Joffri Ali yang mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Sri Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram berkata, prestasi Razlan Joffri pada tahap baik manakala keputusan-keputusan penting yang dibuat olehnya pada perlawanan itu tepat.
Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, kesimpulan itu dibuat selepas beliau meneliti laporan penilai pengadil serta analisis oleh Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM.
"Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa pengendalian perlawanan oleh Razlan telah menunjukkan satu prestasi yang baik, sekali gus tidak mempengaruhi keputusan akhir perlawanan.
"Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM juga telah membuat analisa perlawanan dan mendapati keputusan Kad Kuning kedua (perintah keluar padang) yang diberikan kepada kedua-dua pasukan adalah tepat dari segi Undang-undang Permainan FIFA 2024/2025.
"Keputusan penalti yang diberikan kepada pasukan JDT dan keputusan membatalkan gol JDT kerana kesalahan ofside adalah tepat.
"Setiap insiden dalam permainan tersebut telah disemak dengan tepat oleh Pengadil VAR dan tahap pematuhan ‘Protocol VAR’ adalah sangat cemerlang," katanya.
Dalam perlawanan itu, beberapa keputusan dibuat Razlan Joffri menimbulkan tanda tanda terutama beberapa layangan kad kuning yang disifatkan terlalu mudah.
Sivasundaram turut membuat kesimpulan bahawa setiap 'key match incident' dalam perlawanan tersebut telah diadili dengan tepat mengikut Undang-undang permainan FIFA.
"Lumrah manusia yang mana tidak lari daripada kesilapan-kesilapan yang mana ia tidaklah sebesar mempengaruhi keputusan akhir perlawanan tersebut.
"Kedua-dua pasukan telah memiliki peluang yang sama rata untuk bergelar juara dan ia ditentukan oleh pasukan itu sendiri. FAM sangat komited dengan mutu prestasi pengadil dan FAM tidak pernah berkompromi dalam hal mutu pengadil," ujarnya.
Dalam pada itu, Sivasundaram turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan yang telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam aksi final tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!