Wei Xiang tenang raih gelaran juara kebangsaan bawah 18 tahun

Wei Xiang ungguli acara perseorangan B-18 kebangsaan di Ipoh. Foto Perak Badminton Association PBA
Wei Xiang ungguli acara perseorangan B-18 kebangsaan di Ipoh. Foto Perak Badminton Association PBA
A
A
A

PEMAIN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kong Wei Xiang, tenang mengawal debaran dalam gelanggang untuk mengungguli gelaran Perseorangan Lelaki Kejohanan Kebangsaan Bawah 18 Tahun Petronas 2025 di Dewan Akademi Badminton Perak, Ipoh, Perak pada Ahad.

Pilihan utama kejohanan itu, yang sebelum ini terpaksa berdepan perlawanan penentuan di separuh akhir menentang pilihan kelima-kelapan, Roslie Razeeq Danial, sekali lagi diuji dalam perlawanan akhir menentang Louis Lee Qi Jun.

Louis, juga wakil BAM dan pilihan kesembilan-16, mempamerkan semangat juang tinggi apabila memenangi set pertama 15-12.

Bagaimanapun, Wei Xiang membuktikan ketahanan mental dan kematangan apabila bangkit untuk menguasai dua set berikutnya 20-18, 15-9, dalam pertarungan yang berlangsung lebih sejam.

Sementara itu, Eng Ler Qi tidak mensia-siakan peluang sebagai pilihan utama perseorangan wanita apabila tampil cemerlang menewaskan rakan sepasukan BAM, Oo Shan Zi, dalam aksi sesama pilihan utama.

Ler Qi gah di pentas perseorangan wanita B-18 kebangsaan. Foto Perak Badminton Association PBA
Ler Qi gah di pentas perseorangan wanita B-18 kebangsaan. Foto Perak Badminton Association PBA

Pemain berusia 17 tahun yang berlatih di bawah bimbingan Misbun Ramdan, sekali lagi menunjukkan ketajaman permainan apabila menamatkan perlawanan dalam masa singkat.

Artikel Berkaitan:

Berdepan dengan pemenang perak Sukma Sarawak tahun lalu, Shan Zi, Ler Qi beraksi penuh yakin untuk mencatat kemenangan 15-8, 15-9 dalam tempoh lebih setengah jam.

Sementara itu, impian beregu campuran Dania Sofea Zaidi-Datu Anif Isaac Datu Asrah untuk menggondol kejuaraan berganda tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan Loh Ziheng-Maisarah Ramdan.

Pertarungan kedua-dua pasangan utama BAM itu menyaksikan Dania-Datu Anif unggul memenangi set pertama 16-14, sebelum Ziheng-Maisarah bangkit lebih luar biasa untuk menguasai dua set berikutnya 15-10, 16-14.

Begitupun, Dania berjaya menebus kembali kekecewaan apabila merangkul gelaran beregu wanita bersama rakan gandingan Kejohanan Dunia Remaja, Low Zi Yu.

Dania-Zi Yu hanya memerlukan 20 minit untuk menumpaskan pasangan tidak tersenarai, Lee Mun-Carine Tee Xin Qi, straight set 15-6, 15-7.

Sementara itu, skrip sama turut berulang buat Datu Anif apabila bergandingan bersama Damien Ling Tang Le untuk mengatasi pasangan pilihan ketiga-keempat, Heng Zi Hin (Negeri Sembilan) dan Ethan Oh Joon Hui (Putrajaya), dengan straight set 15-6, 15-12 dalam masa 21 minit.

INFO

Kejohanan Kebangsaan Bawah 18 Tahun Petronas 2025

Keputusan

Beregu Campuran:

Loh Ziheng-Maisarah Ramdan menewaskan Datu Anif Isaac Datu Asrah-Dania Sofea Zaidi, 14-16, 15-10, 16-14

Perseorangan Wanita:

Eng Ler Qi menewaskan Oo Shan Zi, 15-8, 15-9

Perseorangan Lelaki:

Kong Wei Xiang menewaskan Louis Lee Qi Jun, 12-15, 20-18, 15-9

Beregu Wanita:

Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu menewaskan Lee Mun-Carine Tee Xin Qi, 15-6, 15-7

Beregu Lelaki:

Datu Anif Isaac Datu Asrah-Damien Ling Tang Le menewaskan Heng Zi Hin-Ethan Oh Joon Hui, 15-6, 15-12

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!