Pas dakwa peratusan keluar mengundi rendah punca kekalahan di Ayer Kuning

PORT DICKSON – Pas melihat peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Sabtu lalu sebagai antara faktor kekalahan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil langkah proaktif supaya peratusan keluar mengundi pada PRK lebih tinggi sekali gus mencerminkan kehendak sebenar pengundi.
"Kita tahu setiap kali PRK, peratusan keluar mengundi sangat rendah dan SPR sepatutnya buat sesuatu supaya ia dapat mencerminkan realiti sebenar sokongan.
"Semalam pun peratusan itu hanya 58.9 peratus. Malah, pernah kurang daripada 50 peratus dalam PRK sebelum ini," katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Lukut di sini pada Ahad.

Turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas sedar bahawa Ayer Kuning merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, pihaknya tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut kerana masih mampu mengekalkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya sebelum ini.
Malah katanya, sokongan bukan Melayu terhadap parti itu juga dilihat semakin meningkat.
"Secara keseluruhannya, kita mendapat sokongan dan kita masih bertahan dengan undi-undi PN sebelum ini.
"Biasanya dalam PRK, jumlah undi yang diperoleh lebih merosot dengan pelbagai jentera kerajaan yang turun dalam tempoh kempen. Tapi, Alhamdulillah kita masih boleh bertahan walaupun belum mencapai kemenangan," katanya.
Selain itu, beliau berpendapat ada dalam kalangan penjawat awam yang tidak berani menzahirkan sokongan kepada parti itu secara terbuka.
"Dari segi gerak kerja parti, jentera kita telah bekerja bersungguh-sungguh dan strategi kita pun fokus kepada beberapa masalah tempatan yang mendapat maklum balas positif.
"Cuma sebahagian itu tak berani nak zahirkan sokongan, khususnya penjawat awam, dan ini boleh dilihat melalui keputusan undi awal," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyangkal dakwaan bahawa isu kandang babi menjadi faktor kekalahan mereka, sebaliknya menegaskan bahawa isu itu adalah masalah sebenar yang dibangkitkan penduduk.
Sementara itu, Takiyuddin menegaskan bahawa isu tersebut bukanlah isu agama atau kaum, tetapi isu alam sekitar dan kesihatan yang melibatkan semua pihak.
Pada PRK DUN Ayer Kuning, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, diumumkan menang dengan majoriti lebih besar apabila memperoleh 5,006 undi majoriti atau 11,065 undi keseluruhan.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu menewaskan dua pencabarnya, iaitu Abdul Muhaimin Malek, 44, daripada PN dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

