Kenaf MK1, MK2 mampu tingkat hasil hingga 60 peratus

KOTA BHARU - Varieti benih kenaf baharu iaitu Malaysia Kenaf (MK) 1 dan MK2 yang bakal ditanam di Perlis dalam masa terdekat dijangka mampu mengeluarkan hasil 20 hingga 60 peratus.
Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia, Dr Rosli Darmawan berkata, varieti benih yang dihasilkan oleh pihaknya dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) itu juga tahan cuaca panas serta hujan.

"Ia merupakan hasil usaha R&D (penyelidikan dan pembangunan) menggunakan teknologi penyinaran gama yang mana benih MK1 dihasilkan melalui penyinaran gama pada dos 300 Gray (Gy) dan MK, 800 Gy.
"Kaedah mutasi teraruh ini digunakan untuk meningkatkan ciri agronomi tanaman kenaf agar lebih tahan terhadap perubahan iklim serta menghasilkan hasil yang lebih tinggi," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir merasmikan Majlis Pelancaran Varieti benih kenaf baharu, MK1 dan MK2 di Hotel Renai di sini pada Ahad.

Menurut beliau, MK1 dan MK2 menunjukkan peningkatan hasil yang ketara berbanding varieti induk V36 yang telah digunakan sudah lebih 15 tahun di Malaysia.
Ujarnya, berdasarkan kajian di plot tanaman LKTN di Beseri, Perlis anggaran berat batang basah di ladang adalah antara 24 hingga 32 tan sehektar iaitu peningkatan 20 hingga 60 peratus berbanding hasil semasa varieti V36 antara 20 hingga 25 tan sehektar.
Rosli memberitahu, selain potensi hasil yang lebih tinggi, kedua-dua varieti itu menampilkan ciri fizikal yang unik termasuk daun berbentuk palmate serta kelopak bunga
MK1 yang berwarna kuning cair sepenuhnya.
"Sekali gus ciri-ciri ini menjadikan ia mudah untuk dikenal pasti. Varieti MK1 dan MK2 telah mendapat pengiktirafan rasmi melalui kelulusan Pemfailan Varieti Baharu Tumbuhan (PVBT) daripada Jabatan Pertanian Malaysia dengan nombor pemfailan PVBT 003/25 (MK1) dan PVBT 004/25 (MK2).
"Pembangunan varieti baharu ini adalah manifestasi sokongan terhadap pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menggariskan pemerkasaan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor bukan tenaga termasuk pertanian dan industri bioteknologi bagi menyokong kemajuan sosioekonomi dan kelestarian negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!