Rumah kayu usang kini jadi pusat komuniti

Rumah yang berusia lebih 100 tahun ini dipulihkan dengan kos sebanyak RM85,000 itu berfungsi sebagai pusat ilmu kepada komuniti setempat dan sekitar daerah ini.
Rumah yang berusia lebih 100 tahun ini dipulihkan dengan kos sebanyak RM85,000 itu berfungsi sebagai pusat ilmu kepada komuniti setempat dan sekitar daerah ini.
A
A
A

KUANTAN - Sebuah rumah kayu usang di Kampung Tengah di sini yang sebelum ini menjadi sarang najis dadah, kini berubah wajah menjadi pusat komuniti yang dinamakan Rumah Mengaji Pengakap.

Rumah yang berusia lebih 100 tahun ini dipulihkan dengan kos sebanyak RM85,000 itu berfungsi sebagai pusat ilmu kepada komuniti setempat dan sekitar daerah ini.

Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Kelana Pahang, Muhammad Asmawi Sulaiman berkata, rumah tersebut diwakafkan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP) selepas pemilik asalnya meninggal dunia.

"Daripada terbiar dan menjadi sarang najis dadah, lebih baik dibangunkan menjadi rumah mengaji dan pusat ilmu setempat dengan melaksanakan pelbagai aktiviti akademik serta riadah kepada masyarakat setempat.

"Jadi, kami menjalankan kerja-kerja baik pulih dengan kos RM85,000 antaranya pembersihan, pengecatan, pemasangan pendawaian elektrik, meletakkan karpet dan sejadah. Rumah ini boleh digunakan sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Muhammad Asmawi berkata, rumah itu memberi manfaat kepada semua pihak kerana ia bukan sekadar mengaji untuk kanak-kanak dan dewasa.

Jelasnya, ruang yang luas di kawasan rumah ini turut digunakan untuk pelbagai aktiviti komuniti.

"Kami menyediakan kelas mengaji fardu ain untuk kanak-kanak, kelas bahasa Inggeris dan tuisyen untuk pelajar serta kelas mengaji untuk dewasa.

Artikel Berkaitan:

"Kawasan yang luas ini juga boleh menampung hingga 10 kanopi, menjadikannya tempat sesuai untuk majlis keraian atau pun kenduri," katanya.

Tambah beliau, di rumah mengaji itu turut menjalankan program-program sosial seperti kempen kesedaran kanser payudara, aktiviti memasak untuk wanita dan dewasa, serta perkhemahan untuk belia bagi memerangi dadah.

"Aktiviti yang bakal datang termasuk kursus asas penyembelihan menjelang Hari Raya Haji," katanya.

Bagi mereka yang ingin menyumbang barangan seperti telekung, al-Quran, kain pelikat, dan barangan dapur, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank CIMB, 8605771132 atas nama Pasukan Pengakap Kelana G.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!