Penutupan sebelah jalan di Kampung tengah bermula esok

KUANTAN - Penutupan sebelah jalan di Kampung Tengah di sini akan bermula Selasa bagi kerja-kerja pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan di laluan tersebut.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, penutupan jalan melibatkan sembilan lokasi sepanjang 900 meter di laluan kampung berkenaan.
"Kita perlu ambil (masa) lima bulan untuk siapkan kerja-kerja ini dan itu (jangkaan) paling maksimum, namun kalau kontraktor boleh siapkan secepat, mungkin dalam tempoh tiga atau empat bulan.
"Saya meminta semua penduduk di Kampung Tengah dan pengguna laluan perlu bersabar kerana kerja pembinaan ini untuk keselesaan pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar bersama wakil pihak kontraktor bertanggungjawab di Balai Raya Kampung Tengah di sini pada Isnin.
Difahamkan 4,500 penduduk di Kampung Tengah dan sekitar akan mengalami kesulitan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum itu juga mahu pihak kontraktor memastikan keselamatan pengguna laluan tersebut terutamanya pada waktu malam.
"Saya meminta pihak kontraktor, jaga dengan keselamatan pengguna kerana sepanjang 900 meter ini saya ingat pada waktu malam, perlu gunakan lampu.
"Kita tidak mahu sebarang kemalangan berlaku sepanjang projek ini berlangsung," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Iswarabena Sdn Bhd, Ir Ts Abd Rahmad Yasir berkata, pihaknya akan mengeluarkan pemberitahuan berkenaan penutupan jalan secara berperingkat melalui papan tanda.
"Kita akan tutup secara berperingkat untuk pastikan pengguna laluan berkenaan dapat menggunakan lencongan yang diberikan," jelasnya.
Beliau menambah, projek di Kampung tengah merupakan jajaran terakhir bagi pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan di Bandar Indera Mahkota yang telah bermula sejak Ogos 2022.
Katanya, ia pembinaan 33 loji di sepanjang 20 kilometer jalan yang bermula di Indera Mahkota 2 dan penutupnya di Kampung Tengah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!