Hari TLDM ke-91 disambut sederhana

LUMUT - Majlis perbarisan sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91 diadakan secara sederhana dengan mengambil kira nahas helikopter tahun lalu yang telah meragut nyawa 10 warganya.
Sambutan yang mengekalkan tema 'TLDM Perkasa Kedaulatan Terpelihara' telah berlangsung secara berhemah di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM di sini pada Ahad berikutan insiden itu masih meninggalkan kesan mendalam kepada "Navy People'.
Perbarisan pada kali ini terdiri daripada enam kontinjen melibatkan 23 pegawai dan 621 anggota lain-lain pangkat diketuai oleh Komander TLDM, Zakirunizam Ismail itu disaksikan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain.
Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin; Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris dan Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Laut, Datin Zamzelina Ahmad.

Pada majlis itu, Zulhelmy menyampaikan Anugerah Markas Terbaik bagi tahun 2024 kepada Markas Pemerintahan Armada Timur.
KD LEKIU telah dinobatkan sebagai pemenang Piala Agong yang berjaya dan mengekalkan operasi sepanjang tahun manakala KD LEKIR pula dianugerahkan Piala Gonzales dan Piala Panglima Tentera Laut.
Turut disampaikan Pingat Pujian Panglima Tentera Laut kepada Leftenan Komander, Chan Jun Shen dengan kejayaannya mengharumkan nama TLDM di peringkat antarabangsa dalam bidang inovasi dan sukan selain diiktiraf sebagai 'Ironman' termuda negara sehingga kini.
Pingat sama disampai kepada Pegawai Waran I PAP (PKL), Gilbert Anak Bernabas yang telah bertindak berani mengawal situasi dalam satu insiden kebakaran tahun lalu dan mempamerkan keberanian bagi mengelakkan risiko kehilangan nyawa dan mengurangkan kerosakan harta benda.
Bintara Terbaik disampaikan kepada Bintara Kanan TMK, Noorhailie Helmi Afifi Jafri dari Markas Udara Kota Kinabalu manakala Laskar Terbaik diberikan kepada Laskar Kelas I BDI Muhammad Firdaus Mohd Fauzi dari KD Gagah Samudera.
Terdahulu, Zulhelmy ketika berucap turut mengingatkan warga TLDM untuk beramanah mengendalikan dan pengoperasian aset pertahanan negara yang bernilai jutaan dan berbilion ringgit dalam pelaksanaan tugas harian.
"Saya juga menyedari bahawa perangkaan kes jenayah dan salah laku seperti penyalahgunaan dadah, tidak hadir tanpa cuti, kes moral, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan kecurian masih lagi berlaku.
"Walaupun ianya masih terkawal namun, hakikatnya semua ini adalah petanda negatif dan perlu dikawal segera. Hukuman bagi kesalahan tersebut adalah berat dan kepimpinan TLDM tidak teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan bagi mereka yang terlibat.
"Berfikir dahulu buruk baiknya setiap perkara yang ingin anda lakukan dan ingatlah keluarga tercinta yang masih bergantung harapan kepada anda," tegas beliau.
Upacara perbarisan turut dilaksanakan serentak di semua markas formasi dan unit TLDM di seluruh negara selain acara kerohanian antaranya majlis bacaan yasin, doa selamat dan khutbah khas Jumaat.
Majlis tahlil juga diadakan sempena memperingati wira yang terkorban dalam insiden helikopter terhempas tahun lalu serta semua warga TLDM yang telah tiada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!