Spurs mahu hampakan Liverpool

Postecoglou
Postecoglou
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou menyatakan kesediaannya untuk menggagalkan impian Liverpool menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun mengakui pernah meminati kelab Merseyside itu semasa zaman kanak-kanaknya.

Liverpool hanya perlu mengelak kekalahan menentang Tottenham pada Ahad untuk dinobatkan sebagai juara EPL.

Namun, berbeza dengan potensi kejayaan Liverpool, Spurs bakal menyamai rekod kekalahan terbanyak mereka dalam satu musim EPL jika tewas buat kali ke-19 hujung minggu ini.

Hubungan nostalgik Postecoglou dengan Liverpool ketika kecil mencetuskan persoalan sama ada beliau akan 'merelakan' The Reds menjulang kejuaraan di hadapannya di Anfield.

Bagaimanapun, pengendali dari Australia itu menegaskan beliau tetap berhasrat memberikan kejutan dan menangguhkan sambutan kejuaraan pasukan tuan rumah.

“Saya kini hampir berusia 60 tahun, jadi saya sudah lama melepasi zaman ‘crush’ masa kecil. Ia langsung tidak beri kesan.

“Saya sangat menghormati kelab itu. Ya, saya pernah menyokong mereka ketika kecil, tetapi itu kira-kira 50 tahun yang lalu. Segalanya telah berubah sejak itu.

“Apa yang penting ialah kami mahu bersaing menentang pasukan hebat dan melakukannya dengan baik. Bukan sekadar keluar dari perlawanan tanpa kecederaan, tetapi kami mahu bermain dengan penuh keyakinan dan menunjukkan kemampuan sebenar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tottenham kini turut memberi tumpuan kepada aksi separuh akhir Liga Europa menentang Bodo/Glimt minggu depan, dan bakal turun tanpa kelibat tonggak utama, Son Heung-min yang mengalami kecederaan kaki.

Ketiadaan Son menyaksikan Cristian Romero mungkin diberi tanggungjawab sebagai kapten. Romero turut mencuri perhatian minggu ini apabila mendedahkan kesediaannya untuk berpindah ke La Liga suatu hari nanti.

Namun, pemain antarabangsa Argentina itu tetap menegaskan keinginan untuk membawa pulang trofi Liga Europa yang akan menjadi kejuaraan utama pertama kelab sejak menjulang Piala Liga 2008.

Mengulas kenyataan Romero, Postecoglou berkata: “Saya tidak meneliti laporan itu secara mendalam, tetapi saya faham. Bila ditanya, kita perlu menjawab.

“Sama juga dengan saya jika anda tanya soalan tentang masa depan saya, mungkin anda akan dapat tajuk berita yang menarik juga, tetapi ia tidak akan mengubah apa-apa.

“Apa yang penting sekarang bukanlah masa depan Cristian Romero atau sesiapa pun. Yang penting ialah kami ada peluang luar biasa untuk melakukan sesuatu yang istimewa buat kelab ini. Dan itulah yang menjadi fokus utama kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!