Salah terharu dapat rai kejuaraan EPL bersama penyokong

BINTANG Liverpool, Mohamed Salah, menyifatkan kejayaan merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke-20 sekali gus menyamai rekod Manchester United, sebagai 'jauh lebih bermakna' berbanding kemenangan lima tahun lalu.
Salah turut mencetak nama sebagai penjaring dalam kemenangan bergaya 5-1 ke atas Tottenham Hotspur di Anfield, sekali gus memastikan Liverpool kini bergelar antara kelab paling berjaya dalam sejarah liga utama Inggeris bersama United.
Skuad kendalian Arne Slot itu kini berada 15 mata di hadapan pencabar terdekat Arsenal, dengan hanya berbaki empat perlawanan.
Salah, yang meledak gol pada separuh masa kedua untuk mengukuhkan kedudukannya di tempat kelima penjaring terbanyak sepanjang zaman EPL dengan 185 gol mengakui kejayaan kali ini lebih bermakna berbanding kejayaan di bawah kendalian Jurgen Klopp pada tahun 2020.
"Ini jauh lebih baik, 100 peratus," kata pemain antarabangsa Mesir itu. "Tanpa Sadio (Mane), tanpa Jurgen, tanpa Bobby (Firmino) – tanpa semua mereka, kejayaan ini terasa lebih istimewa.
"Kami mempunyai kumpulan berbeza sekarang, jurulatih yang berbeza, jadi untuk berjaya sekali lagi adalah sesuatu yang luar biasa," katanya.
Berbeza dengan kejayaan sebelum ini yang diraikan tanpa kehadiran penyokong akibat pandemik Covid-19, Salah mengakui amat terharu dapat menikmati kejuaraan itu di hadapan penyokong setia Anfield kali ini.
"Ia sesuatu yang luar biasa untuk memenangi ini bersama penyokong kami. Saya sangat gembira kami meraikannya di sini.
"Saya menonton perlawanan Arsenal menentang Crystal Palace pada Rabu dan saya tidak mahu kami mengesahkan kejuaraan ketika itu. Saya mahu menikmati pengalaman yang berbeza kali ini," katanya.
Kecemerlangan Salah musim ini menjadi tunjang kejayaan Liverpool, dengan pemain berusia 32 tahun itu telah meledak 28 gol dalam 34 perlawanan liga. Beliau juga baru-baru ini menamatkan spekulasi masa depannya dengan menandatangani lanjutan kontrak bersama The Reds.
Ditanya sama ada Slot berjaya meningkatkan prestasinya, Salah mengakui perkara tersebut dengan rekod demi rekod diciptanya tahun ini.
"Dia seorang yang sangat jujur. Orang Belanda memang terkenal dengan sikap tegas, tetapi dia memudahkan kerja kami kerana setiap pemain tahu dengan jelas apa yang perlu dilakukan.
"Saya tidak perlu banyak bertahan sekarang. Taktikalnya berbeza. Saya pernah berkata kepadanya, 'selagi anda rehatkan saya dari bertahan, saya akan berikan segalanya dalam serangan', dan saya gembira kerana saya dapat tunaikan janji itu. Dia banyak mendengar, dan lihat sahaja hasilnya.
"Bermain di Liga Perdana tetap memerlukan pertahanan, tapi saya ambil sedikit risiko dan cuba buat perbezaan. Jumlah bantuan jaringan saya membuktikannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!