Liverpool julang kejuaraan EPL kali ke-20

LIVERPOOL memastikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Tottenham Hotspur 5-1 di Stadium Anfield.
Memerlukan hanya satu mata untuk merangkul gelaran liga ke-20 — menyamai rekod Manchester United — Liverpool terlebih dulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan Dominic Solanke pada minit ke-12.
Namun, kelebihan itu hanya bertahan empat minit sebelum Luis Diaz menyamakan kedudukan menerusi jaringan yang disahkan oleh video bantuan pengadil (VAR) minit ke-16.
Gol kedua tuan rumah dijaringkan oleh Alexis Mac Allister hasil rembatan kaki kiri minit ke-24, sebelum Cody Gakpo menambah jaringan ketiga minit ke-34.

Mohamed Salah, yang menamatkan kemarau gol dalam enam perlawanan, meledak gol keempat pada minit ke-63, disusuli gol kelima hasil jaringan sendiri Destiny Udogie minit ke-69.
Kemenangan itu meletakkan Liverpool dengan 82 mata selepas 34 perlawanan, jauh meninggalkan Arsenal di tangga kedua dengan 67 mata.
Tottenham, yang membuat lapan pertukaran dalam kesebelasan utama menjelang aksi separuh akhir Liga Europa, jelas gagal memberikan tentangan apabila tewas buat kali ke-19 musim ini.
Pengendali baharu Liverpool, Arne Slot, mencatat sejarah sebagai pengurus kelima yang memenangi kejuaraan liga tertinggi England pada musim pertamanya.
"Rasanya sungguh hebat. Saya rasa saya tidak mahu berkata banyak. Apa yang penting sekarang ialah menyampaikan penghargaan saya kepada Jürgen Klopp," kata Slot, yang menggantikan Klopp sebagai pengendali Liverpool pada musim panas lalu.
Slot yang berusia 46 tahun itu kemudiannya terus menyanyikan lagu yang diminta Klopp untuk dinyanyikan oleh penyokong Liverpool selepas perlawanan terakhirnya pada Mei lalu, namun dia menggantikan lirik 'Arne Slot' dengan 'Jurgen Klopp'.
"Saya 99.9 peratus pasti bahawa jika saya mengangkat telefon sekarang, akan ada mesej daripada Jürgen.
"Terdapat begitu banyak detik sepanjang musim ini di mana kami berdua berhubung. Saya rasa beliau telah menunjukkan betapa mulianya peribadi beliau musim lalu dengan memperkenalkan saya.
"Tetapi apa yang paling penting ialah pasukan yang beliau tinggalkan, mampu memenangi trofi ini," katanya.
Berbeza dengan kejayaan pada tahun 2020 yang diraikan dalam stadium kosong akibat pandemik Covid-19, kejuaraan kali ini disambut meriah bersama penyokong setia di Anfield.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!