4 lelaki diberkas terlibat kes curi motosikal

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kes mencuri motosikal jenis Yamaha dalam Op Lejang Khas pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, semua lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 32 tahu itu ditahan hasil serbuan sekitar kawasan Iskandar Puteri dan Tanjung Kupang.
Menurutnya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah dengan dua daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan.
"Selain itu, sebanyak enam motosikal, tiga topi keledar serta pelbagai alatan dipercayai digunakan untuk membuka alat ganti motosikal turut dirampas dalam operasi berkenaan.
“Tiga suspek didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat membabitkan enam kes berasingan, manakala seorang lagi suspek dijadikan saksi pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kesemua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menerima harta curi secara tidak jujur.
Jika sabit kesalahan, hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda boleh dikenakan di bawah Seksyen 379A, manakala Seksyen 411 pula membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kesemua suspek kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara antara enam hingga 12 bulan bermula dari tarikh tangkapan mengikut pertuduhan masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!