PRK Ayer Kuning: JaPen penuhi keperluan pengamal media sepanjang kempen

Ruangan untuk pengamal media berehat di Pusat Media.
Ruangan untuk pengamal media berehat di Pusat Media.
A
A
A

TAPAH - Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) antara agensi yang memainkan peranan penting dalam menyebarluas dasar kerajaan termasuk memenuhi keperluan pengamal media sepanjang dua minggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berlangsung.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak, Yosri Abu Mahsin berkata, penubuhan pusat media sepanjang tempoh terbabit dikawal selia oleh Bahagian Media dan Komunikasi Korporat bersama JaPen negeri.

Menurutnya, kemudahan meliputi capaian Internet pantas, keperluan informasi dan penyediaan makanan dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

“Dengan kemudahan sedemikian mampu memaksimumkan penggunaan pusat media dan petugas boleh melaporkan berita mengenai pilihan raya dengan selesa.

“Pusat media ini boleh menampung antara 70 hingga 80 petugas media dalam satu masa. Di samping itu, JaPen sediakan makanan dan minuman dalam ruangan pendingin hawa.

“Jadi, mereka tidak perlu keluar makan, hanya balik ke pusat media selepas tugasan dan berehat di sini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Yosri memaklumkan, seramai 15 pegawai JaPen ditugaskan untuk memenuhi keperluan wartawan dan jurugambar secara bergilir-gilir.

Tambahnya, terdapat petugas lapangan dari JaPen yang akan turun padang untuk mengedarkan risalah berhubung pilihan raya dan dasar kerajaan kepada golongan pengundi baharu di DUN Ayer Kuning.

Artikel Berkaitan:

“Inisiatif ini dinamakan ‘Info On Wheels’ yang digerakkan pada 23 hingga 26 April untuk mengingatkan pengundi supaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Kami juga turun padang beritahu mereka untuk buat persediaan awal keluar mengundi dan gunakan saluran mengundi yang betul.

“Maklumat bukan disalurkan dalam Bahasa Melayu sahaja, tetapi juga bahasa Orang Asli,” ujar beliau.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu dicabar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 39.

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh 14 hari berkempen dengan pengundian awal PRK tersebut pada 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Ayer Kuning adalah seramai 31,897 orang dengan 31,315 merupakan pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.

Sebanyak 19 pusat mengundi biasa membabitkan 63 saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga saluran akan digunakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!