Bengang dipindahkan, guru langgar, pukul pengetua

M Yani (kanan) cedera selepas diserang seorang guru lelaki di Kepahiang, Bengkulu, dikenali sebagai RL. Foto Agensi
M Yani (kanan) cedera selepas diserang seorang guru lelaki di Kepahiang, Bengkulu, dikenali sebagai RL. Foto Agensi
A
A
A

KEPAHIANG, INDONESIA - Seorang guru lelaki bertindak ganas apabila melanggar dan memukul pengetua sekolah menengah di daerah ini gara-gara tidak berpuas hati dengan arahan pertukaran tempat bertugas.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi Isnin lalu, mangsa, M Yani, yang juga Pengetua Sekolah Menengah Pertama Negeri (SMPN) 3 Bermani Ilir, sedang menunggang motosikal ke sekolah sebelum tiba-tiba dilanggar dari arah kiri oleh sebuah motosikal tanpa penunggang di Desa Taba Saling, Tebat Karai.

Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh ke dalam semak dengan kaki kiri tersepit di bawah motosikal.

Tidak lama kemudian, suspek yang dikenali sebagai RL, guru di sekolah berkenaan, muncul lalu memukul mangsa bertubi-tubi.

“Saya tak pasti berapa kali dipukul, tapi lebih daripada dua kali, mungkin empat atau enam kali. Saya hanya lindungi kepala sebab tak sempat buat apa-apa,” katanya kepada TribunBengkulu.com. pada Jumaat.

Tambahnya, selepas memukul, suspek dilihat cuba melarikan diri namun berpatah balik apabila melihat mangsa cuba bangkit, lalu menyembur cecair dipercayai alkohol ke muka mangsa sebelum terus memukul lagi.

Orang awam yang mula berkumpul di lokasi kejadian menyebabkan suspek bertindak melarikan diri.

Mangsa yang cedera dibantu beberapa guru dan dibawa ke sebuah klinik swasta sebelum dirujuk ke Hospital Umum Kepahiang untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan arahan pertukaran ke sekolah lain.

“Saya tak tahu motif sebenar. Tapi mungkin dia marah sebab saya pernah tegur kelakuan dia yang sering timbulkan masalah di sekolah,” kata mangsa.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Kepahiang, AKP Denyfita Mochtar berkata, suspek berjaya diberkas tidak lama selepas kejadian dan siasatan mendapati dia dengan sengaja melanggar dan menyerang mangsa.

“Suspek mengaku sakit hati kerana dimaklumkan akan dipindahkan. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Daerah Kepahiang, Hartono mendedahkan bahawa RL bukan pertama kali mencetuskan masalah, malah turut mempunyai rekod perselisihan dengan pengetua sebelum ini.

“Kita amat kesal perkara ini berlaku dalam institusi pendidikan. Jika ada masalah dalaman, ia sepatutnya diselesaikan secara baik, bukan dengan kekerasan,” katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!