'Setiap hari saya akan sujud syukur walaupun belum tahu keputusan'

MELAKA - Kejayaan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diraih pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Yusrahanis Nadilah Yusmanezam, 18, bukan sekadar hasil usaha akademik, malah berteraskan kekuatan rohani dan disiplin diri yang tinggi.
Anak kedua daripada empat beradik itu memperoleh 9A dan berkongsi bahawa kejayaan tersebut adalah berkat konsistensi dalam menunaikan ibadah sunat seperti solat rawatib, solat taubat dan sujud syukur setiap malam, selain amalan puasa sunat setiap Isnin dan Khamis bersama rakan-rakan.
“Setiap hari juga saya akan sujud syukur selepas Isyak, walaupun belum tahu keputusan. Ia satu bentuk rasa syukur dan kebergantungan kepada ALLAH SWT,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, amalan ibadah itu bukan sahaja membantu dari sudut rohani, malah memberi kesan positif kepada kestabilan emosi serta motivasi ketika belajar.
Belajar secara konsisten

Mengulas teknik pembelajaran yang diamalkannya, pelajar berasal dari Paya Rumput itu lebih selesa mengulang kaji pelajaran dalam suasana santai namun konsisten.
“Setiap malam saya akan baca semula nota yang saya tulis sendiri ketika guru mengajar kerana saya tak boleh belajar guna nota digital atau pinjam nota kawan,” katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau Universiti Malaya (UM).
Tambahnya lagi, dia turut mengaitkan pembelajaran dengan pengalaman harian yang menjadikan proses menuntut ilmu sesuatu yang lebih bermakna dan mudah diingati.
“Contohnya, kalau nampak tiang berkarat masa berjalan, terus teringat topik kimia, selepas itu cuba mengingati semula apa yang telah dipelajari," katanya.
Jelasnya, bagi subjek-subjek pengiraan seperti Matematik dan Fizik, dia menetapkan sasaran untuk menjawab sekurang-kurangnya satu soalan setiap hari sebagai latihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!