Pesara guru rugi RM189,199 selepas mahu gandakan simpanan

MUAR – Hasrat seorang pesara guru untuk menggandakan wang simpanan melalui pelaburan sacara dalam talian tidak kesampaian apabila wanita berusia 66 tahun itu kerugian RM189,199 dipercayai akibat menjadi mangsa penipuan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian bermula apabila mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp.
“Wanita itu kemudian dihubungi oleh seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pelabur skim tersebut dan menawarkan peluang pelaburan kepadanya.
“Mangsa diberikan penerangan mengenai cara melabur, jumlah modal diperlukan serta kadar keuntungan yang bakal diperoleh,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, mangsa dijanjikan pulangan antara 6.1 peratus hingga 12.9 peratus daripada jumlah pelaburan.
"Tertarik dengan tawaran itu, mangsa melakukan 23 transaksi pindahan wang ke akaun bank sebuah syarikat berjumlah RM189,199 pada 17 Februari lalu.
“Selepas itu, mangsa menerima satu pautan untuk menyemak status pelaburan dan mendapati kononnya pulangan sebanyak RM956,016.84 telah dikreditkan ke dalam akaunnya,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, apabila diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM150,000 untuk menebus wang tersebut, mangsa mula berasa curiga.
Tambahnya, usaha mangsa untuk menghubungi semula individu terbabit gagal dan menyedari dirinya telah ditipu, difahamkan, wang yang dilaburkan adalah hasil simpanan mangsa selama ini.
Menurut Raiz Mukhliz, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tidak masuk akal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

