Air Selangor kerjasama dengan Monsta fokus penjimatan air

Adam Saffian (kiri) dan Yoon Pin (kanan) bertukar dokumen perjanjian pada Majlis Jalinan Kerjasama Air Selangor bersama Monsta.
Adam Saffian (kiri) dan Yoon Pin (kanan) bertukar dokumen perjanjian pada Majlis Jalinan Kerjasama Air Selangor bersama Monsta.
A
A
A

SUBANG JAYA - Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengumumkan kerjasama rasmi bersama Monsta Studio Sdn Bhd (Monsta) iaitu penerbit di sebalik fenomena animasi BoBoiBoy bagi tempoh tiga tahun bermula tahun ini hingga 2027 dalam usaha membentuk generasi yang lebih peka terhadap pemuliharaan air.

Kerjasama strategik antara Air Selangor dan Monsta juga bakal membuka lembaran baharu dalam menyemai kesedaran penjimatan air dalam kalangan generasi muda, menerusi pendekatan kreatif dekat di hati mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, inisiatif ini bukan sekadar program biasa, tetapi satu pelaburan jangka panjang untuk membentuk minda lestari generasi akan datang.

“Kami akan melaksanakan pelbagai program dan siri kartun yang menyuntik nilai kelestarian dan tanggungjawab memelihara air. Mesej ini penting, dan kami mahu ia disemai sejak kecil agar menjadi amalan seumur hidup,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Misi Jimat Air Bersama BoBoiBoy 2024 dan Majlis Jalinan Kerjasama Air Selangor bersama Monsta di Kompleks Sukan 3K, Subang Jaya di sini pada Jumaat.

SK Polis Depot, Kuala Lumpur berjaya membawa pulang hadiah utama berupa kemudahan mencantikkan sekolah bernilai RM15,000.
SK Polis Depot, Kuala Lumpur berjaya membawa pulang hadiah utama berupa kemudahan mencantikkan sekolah bernilai RM15,000.

Sementara itu, Pengarah Urusan Monsta, Kee Yong Pin pula menyifatkan kerjasama tersebut adalah peluang terbaik untuk menyampaikan mesej besar dalam bentuk yang menyeronokkan.

“Kami mahu anak-anak bukan sekadar menonton, tetapi memahami dan bertindak. Mesej kami jelas, setiap titis air berharga, dan generasi muda mampu menjadi agen perubahan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai simbol kejayaan usaha terdahulu, Air Selangor turut mengumumkan pemenang peraduan Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy 2024.

Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Depot, Kuala Lumpur berjaya membawa pulang hadiah utama berupa kemudahan mencantikkan sekolah bernilai RM15,000, manakala tiga pemenang saguhati - Azan Integrated Islamic School, Sepang, SK Seri Fajar, Kuala Kubu Bharu dan SK Taman Tasik, Ampang, masing-masing menerima kemudahan sama bernilai RM5,000.

Menerusi peraduan ini, Air Selangor telah menerima pelbagai kandungan kreatif seperti video pendek, kandungan digital, VFX atau kesan visual, video muzik dan jalan penceritaan daripada sekolah-sekolah yang terlibat.

Momentum ini bakal diteruskan dengan pelancaran Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy 2025 sempena Hari Alam Sekitar Sedunia pada Jun ini.

Peraduan ini akan membuka peluang kepada lebih ramai pelajar untuk menyuarakan pandangan dan bertindak demi alam sekitar.

Malah kerjasama ini juga membuktikan bahawa pendidikan alam sekitar bukanlah tugas institusi semata, tetapi tanggungjawab bersama yang perlu disampaikan melalui pendekatan yang menginspirasi dan menyentuh hati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!