Calon SPM Terengganu peroleh keputusan A+ semua subjek meningkat

KUALA TERENGGANU - Seramai 11 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Sekolah (SPM) 2024 di Terengganu berjaya memperoleh keputusan cemerlang tertinggi iaitu semua A+ dalam mata pelajaran diambil.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Rosli Chik berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan tiga calon berbanding seramai lapan calon direkodkan pada 2023.
"Terengganu merekodkan seramai 532 calon atau 3.19 peratus mendapat keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran, meningkat berbanding 464 calon (2.83 peratus) pada tahun sebelumnya.
"Selain itu, seramai 3,995 calon atau 23.93 peratus memperoleh sekurang-kurangnya gred C dalam semua mata pelajaran, meningkat sebanyak 129 calon berbanding 3,866 calon (23.60 peratus) pada 2023," katanya pada sidang akhbar sempena pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM 2024 di sini pada Khamis.
Beliau berkata, Gred Purata Negeri (GPN) diperoleh pula merekodkan sebanyak 4.31 mata berbanding 4.41 mata pada 2023, mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan dengan nilai 4.49 mata.
Dalam pada itu katanya, seramai 11,087 calon (66.41 peratus) memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau memperoleh gred E dalam semua mata pelajaran.
Jelas beliau, jumlah itu meningkat berbanding 10,489 calon (64.03 peratus) pada tahun lalu.
"Kita merekodkan seramai 18,913 calon yang mendaftar untuk menduduki SPM pada 2024 dan daripada jumlah itu seramai 279 calon sekolah KPM tidak hadir peperiksaan.
"Jumlah calon tidak hadir itu menunjukkan penurunan berbanding 401 calon pada 2023," katanya.
Keputusan penuh SPM boleh disemak melalui laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula jam 10 pagi atau hadir ke sekolah masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!