PN tunjuk bukti Sungai Bidor tercemar akibat ladang babi

Idris (dua dari kanan) dan Hafez (dua dari kiri) menunjukkan keputusan makmal hasil ujian dua sampel air Sungai Bidor.
Idris (dua dari kanan) dan Hafez (dua dari kiri) menunjukkan keputusan makmal hasil ujian dua sampel air Sungai Bidor.
A
A
A

TAPAH - Perikatan Nasional (PN) pada Jumaat mendedahkan hasil ujian makmal terhadap sampel air Sungai Bidor yang didakwa tercemar akibat pelepasan najis dari sebuah ladang babi berhampiran Kampung Kuala Gepal dan Kampung Poh.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, dua sampel air telah diambil pada 18 April lalu dan diuji di makmal swasta bertauliah dengan keputusan menunjukkan perbezaan ketara tahap pencemaran di antara dua lokasi berbeza sepanjang sungai tersebut.

Menurutnya, sampel B1 yang diambil sebelum lokasi pencemaran menunjukkan bacaan Keperluan Oksigen Kimiahayat (BOD) bawah 3 miligram seliter (mg/L) dan Keperluan Oksigen Kimia (COD) pada tahap 12 mg/L, menandakan air bersih.

"Bagaimanapun, sampel B2 yang diambil selepas lokasi pencemaran menunjukkan bacaan BOD setinggi 78 mg/L dan COD mencecah 358 mg/L.

"Perbezaan ketara itu membawa maksud sampel terdebut tercemar akibat pelepasan najis daripada ladang babi tersebut,” katanya dalam sidang akhhbar di Pusat Media PN di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pemuda Pas Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri.

Idris berkata, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan boleh membentangkan keputusan ujian makmal sendiri sekiranya benar telah menjalankan siasatan di lokasi terlibat.

"Mungkin makmal kami ini tidak betul, tiada masalah bukan kita cari (isu) ini untuk menang, tetapi kebenaran untuk didedah kepada umum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, kajian saintifik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak mendapati, sembilan ladang ternakan babi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mematuhi peraturan pembuangan sisa dan tidak menyebabkan pencemaran sungai.

Begitupun, beliau mengalu-alukan pihak lain yang mempunyai kajian berbeza untuk tampil mengemukakan bukti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!