Emas tengah mahal, hati-hati peragut memerhati

EMAS dan wanita memang tidak dapat dipisahkan. Walaupun harganya kini mencecah lebih RM500 segram, bagi golongan wanita, inilah masanya untuk tampil lebih bergaya mempamerkan siapa lebih kaya, dengan menayang emas.
Itulah perihal golongan wanita pada masa kini. Bukan setakat pamer emas di media sosial, malah nak pergi ke kedai pun pakai gelang emas jenis coco mahupun sauh.
Belum lagi berkunjung ke rumah terbuka Aidilfitri. Makin berat bawa tangan. Kawan Merak Jalanan pun sama perangainya. Masing-masing bergaya dengan gelang emas sebesar dua jari ke pejabat, siap bandingkan harga emas antara mereka.
Merak Jalanan bukan apa, cuma risau. Maklumlah dengan harga emas mencanak tinggi, jenayah ragut pun mungkin sama ‘naik’.
Harga emas yang melambung tinggi menyebabkan barang kemas antara sasaran utama penjenayah.
Mereka semakin berani tanpa mengira masa mahupun tempat. Kes ragut bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, malah boleh mengancam nyawa mangsa.
Pernah berlaku pada awal Aidilfitri lalu, seorang wanita berusia 52 tahun disamun dan ditetak di kawasan belakang bangunan sebuah restoran di Jalan Seri Putra, Kulai Johor.
Hari yang sama juga, seorang wanita berumur 36 tahun turut menjadi mangsa. Habis barang kemasnya dilarikan penjenayah.
Insiden seperti itu sepatutnya membuka mata masyarakat terutama wanita supaya lebih berhati-hati.
Jadi, janganlah teruja sangat nak tayang gelang emas besar di tangan, cincin penuh di jari atau rantai berkilau di leher, atau bahasa mudahnya, jangan berlebihan memakai perhiasan emas sehingga mengundang bahaya.
Ingat! Tanpa kita sedari ada mata yang memerhati dan mencari peluang untuk bertindak melakukan jenayah demi mendapatkan habuan mudah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!