Tunaikanlah zakat emas sebelum ia jadi beban dosa

DI sebalik kilauan emas yang disimpan rapi di dalam peti besi atau dipakai bermegah pada jari dan leher, ada amanah yang besar sedang menanti iaitu zakat.
Mengertilah bahawa bagi umat Islam, emas bukan sekadar aset kekayaan, tetapi juga ujian keimanan.
Tatkala harga emas 999.9 mencecah RM514 segram setakat artikel ini ditulis, ia sepatutnya menjadi satu ‘panggilan’ peringatan bukan hanya untuk pelabur, tetapi lebih penting ialah penunaian zakat yang diwajibkan syarak.
Menurut Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Ustaz Hamizul Abdul Hamid, zakat emas wajib ditunaikan apabila cukup syarat yang ditetapkan dalam Islam.

Syarat yang dimaksudkan ialah Islam, merdeka, milikan sempurna, cukup nisab dan haul (tempoh pemilikan setahun).
Perkara itu penting kerana zakat sebenarnya untuk menjamin orang yang memiliki emas itu terelak daripada dosa.
“Kalau dia tak mengeluarkan zakat emas dalam keadaan dirinya sudah wajib berbuat demikian, maka dia akan jatuh kepada dosa,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus pada Khamis.
Bukan itu sahaja, jelas pendakwah tersebut, zakat bukan sekadar pembersih harta, tetapi juga pelindung daripada kemurkaan Ilahi.
Bahkan, katanya, keengganan menunaikannya akan membawa kesan yang berat, baik di dunia mahupun akhirat.
Menerusi ayat ke-34 dan 35 Surah at-Taubah, ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya banyak dalam kalangan pendeta dan ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalang (manusia) dari jalan ALLAH (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan ALLAH, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri. Oleh itu, rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu.”
“Dalam ayat itu, sebenarnya ALLAH SWT memerli orang yang ada kekayaan tetapi enggan membayar zakat dengan memberitahu mereka khabar ‘gembira’ dengan azab yang pedih.
“Perbuatan itu (tidak membayar zakat emas dan perak) seperti seseorang yang membela penjenayah di rumahnya. Diberi makan dan tempat tinggal, tetapi akhirnya penjenayah itulah yang menikam semula tuannya.

“Begitulah (keadaan) orang yang ada emas, kemudian enggan membayar zakat. Emas itu ibarat penjenayah yang menikam dirinya semula,” terangnya panjang lebar.
Kiraan zakat emas
Berbicara tentang logam berharga itu, jelas Ustaz Hamizul, terdapat dua jenis emas yang perlu difahami iaitu emas perhiasan seperti barang kemas dan emas bukan perhiasan memandangkan kiraannya adalah tidak sama.
Bagi emas bukan perhiasan, nisabnya ialah 85 gram (g), manakala emas perhiasan pula hanya dikenakan zakat jika melebihi kadar uruf pemakaian setempat iaitu 800g di Selangor.
Beliau turut memberikan panduan pengiraan mudah untuk kita memahaminya.
“Jika emas perhiasan itu beratnya 850g, maka yang wajib zakat adalah 50g sahaja (baki nilai yang melebihi kadar uruf) dan dikalikan dengan harga emas semasa, kemudian baharu didarab dengan 2.5 peratus (kadar zakat),” ujarnya.
Ia berbeza dengan pengiraan zakat emas bukan perhiasan.
Dalam hal itu, jelas Ustaz Hamizul, mengikut fatwa zakat di Selangor bertarikh 31 Januari 2017, pemilik emas wajib menggabungkan kilauan logam itu dengan dua lagi jenis harta lain iaitu wang simpanan dan pelaburan.
Beliau kemudian memberikan contoh nisab zakat emas di Selangor RM29,961 (nilai 85g emas).
“Apabila dihitung jumlah emas (bukan perhiasan) si A, keseluruhannya tidak mencapai nisab (RM29,961). Misalnya hanya RM20,000 sahaja, maka campurkan jumlah itu dengan simpanan yang ada contohnya RM5,000 dan pelaburan RM5,000. Jadi ketiga-tiga (harta) itu berjumlah RM30,961.
“Wajib digabungkan semua itu untuk dikeluarkan zakat sebagai satu amaun iaitu RM30,000 x 2.5 peratus,” katanya.

Seperkara lagi, pendakwah terkemuka itu mengingatkan emas bukan perhiasan tidak hanya melibatkan jongkong emas sahaja.
“Sebaliknya, termasuk dalam kategori emas bukan perhiasan ialah emas yang tidak dipakai oleh wanita dalam tempoh setahun walaupun sekali; emas dibuat perhiasan atau peralatan di rumah; emas jongkong; emas serbuk atau logam emas mentah dan termasuklah emas yang dipakai oleh lelaki,” tuturnya.
Bilakah waktu sesuai membayar zakat emas memandangkan kebanyakan orang membeli emas pada waktu yang berbeza?
Menjawab persoalan itu, ujar Ustaz Hamizul, pemilik boleh menentukan sendiri haul zakatnya bagi memudahkannya mengeluarkan zakat.
“Mungkin ada emas yang dibeli pada awal tahun, tengah atau hujung tahun. Jadi untuk memudahkan, meskipun dibeli pada tarikh berbeza, Islam membenarkan pemilik emas tadi meletakkan satu tarikh sahaja untuk mengeluarkan zakat.
“Contohnya, si A mengatakan hendak keluarkan zakat pada penghujung tahun iaitu 31 Disember. Maka ketika tarikh itu, apa jua emas yang dimiliki, keluarkanlah zakatnya.
“Bagi penentuan harga banyak mana zakat perlu dibayar, perlu melihat harga emas pada tarikh tersebut contohnya 31 Disember,” ungkapnya.
Kaya, tetapi enggan berzakat
Dalam pada itu, Ustaz Hamizul turut memberi peringatan keras kepada mereka yang terus hidup mewah tetapi culas menunaikan zakat sepertimana banyak disebutkan dalam al-Quran dan hadis.
“Kita paling takut sekali orang itu bukan sekadar ditarik kekayaan dia atas dunia, tetapi turut mendapat azab yang pedih pada hari akhirat,” tegasnya.
Beliau kemudian menyentuh konsep istidraj iaitu pemberian nikmat oleh ALLAH dalam keadaan murka yang merupakan satu bentuk ujian buat si kaya lupa daratan.

“Keadaan itu tak sama jika ALLAH beri (nikmat) dalam keadaan sayang. Kesannya, dia semakin lupa ALLAH walaupun kaya raya hingga akhirnya apabila ajal kian hampir, baru dia tersedar, tetapi sudah terlambat kerana nyawa sudah sampai ke halkum.
“Apabila ALLAH SWT beri kita kekayaan, sebenarnya DIA bukan bagi sahaja, tetapi ALLAH berikan dengan amanah dan tanggungjawab. Maka tanggungjawab itulah ALLAH SWT akan tanya pada kita balik,” titipnya.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Hamizul mengingatkan, ALLAH SWT akan menolong hamba-NYA jika kita berbuat demikian terhadap agama-NYA sebagaimana dinyatakan dalam ayat ke-7 Surah Muhammad.
“Kita bayar zakat, itu bermakna kita menolong agama ALLAH, maka DIA akan membantu kita balik dan ALLAH akan meneguhkan pendirian kita.
“Bila kita ingin dapat apa yang ALLAH sebut, maka kita perlu mentaati-NYA. Sama juga halnya sepertimana bila kita taat pada perintah ibu dan ayah, maka orang tua kita juga memberikan ganjaran,” titipnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!