X

Kindly register in order to view this article
!

Tangguh sidang Parlimen bukan kerana takut: Annuar Musa

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa di Ibu Pejabat UMNO, hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Penangguhan sidang Dewan Rakyat bukan kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang ada pihak mengemukakan usul undi tidak percaya sebaliknya prosedur itu mengikut tertib.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, penangguhan itu bagi memberi laluan kepada pelantikan jemaah Kabinet terlebih dahulu bagi membolehkan mesyuarat berjalan dengan lancar.

Menurutnya, tidak menjadi satu kesalahan bagi Perdana Menteri memohon menangguhkan sidang Dewan Rakyat selagi belum melepasi tempoh enam bulan atau tarikh akhir persidangan iaitu 5 Jun ini.

“Ada orang kata takut nak bersidang sebab itu tangguhkan. Ada kawan saya bekas menteri, melalut sahaja. Kita kena faham, bukan sengaja nak tangguh. Tetapi kita kena tertib full compliance dengan standing order (peraturan mesyuarat). Kena ada sidang Parlimen mengikut jalur yang ditetapkan,” katanya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian kepada pemberita selepas selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi MCA di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang Dewan Rakyat 9 Mac ditangguh Mei depan

Terdahulu, Dewan Rakyat yang dijadualkan bersidang pada 9 Mac ini ditangguhkan pada18 Mei depan.

Media sebelum ini melaporkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan, surat berhubung tarikh baharu itu diterima malam tadi.

Susulan pengumuman itu, segelintir pihak mendakwa Perdana Menteri tidak mempunyai sokongan penuh untuk berhadapan dengan undi tidak percaya pada sidang itu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (kanan) di Ibu Pejabat UMNO, hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (kanan) di Ibu Pejabat UMNO, hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Muhyiddin perlu diberi masa untuk melantik jemaah menteri bagi melancarkan urusan peraturan mesyuarat terutama dalam sesi soal jawab lisan antara kerajaan dan pembangkang.

Selain itu, Annuar turut menjangkakan pertukaran Speaker juga akan turut menjadi aturan mesyuarat kerana pertukaran itu adalah kelaziman selari dengan pertukaran kerajaan.

“Mustahil nak bersidang April ini. Sudah tentu kerajaan baharu mahu kemukakan notis untuk melantik Speaker baru. Pelantikan Speaker Dewan itu ada kuasa tertentu, dan kena tentukan notis berapa lama, kena berunding antara parti nak calon siapa dan sebagainya, jadi memerlukan masa.

“Dulu saya pembangkang, saya hantar soalan, sekarang saya duduk di sebelah kerajaan. Mana ada soalan dari pembangkang. Jadi bila bertukar kerajaan, perlu adil dan beri peluang kepada yang jadi ahli Parlimen (kerajaan) yang tidak menjadi front bench (Kabinet) serta pembangkang untuk menghantar soalan dan sebagainya,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh itu turut memaklumkan bahawa UMNO sepakat menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri berhubung pelantikan jemaah menteri.

Annuar berkata, penentuan anggota Kabinet merupakan prerogatif Perdana Menteri walaupun UMNO kini mempunyai bilangan kerusi yang paling banyak dalam kerjasama politik baharu itu.

“Kita (UMNO) tidak boleh bercakap sesuatu yang dilihat seolah-olah meletakkan prasyarat (terhadap pelantikan Kabinet). Perdana Menteri mesti diberi kebebasan penuh untuk melantik jemaah Kabinet beliau.

“Saya pasti Perdana Menteri tidak mahu mengulang kembali kegagalan kerajaan Pakatan Harapan serta impak dari kegagalan itu yang mengakibatkan lebih kesengsaraan kepada rakyat,” katanya.

Annuar berkata, UMNO mengenali Muhyiddin sebagai seorang yang berpengalaman dan UMNO yakin Perdana Menteri akan mempunyai pasukan Kabinet yang kuat dan berpengalaman dalam mentadbir negara.

Saranan UMNO itu senada dengan rakan mereka dalam Muafakat Nasional, iaitu Pas yang hanya mengharapkan Perdana Menteri melantik jemaah Kabinet dalam kalangan mereka yang berkelayakan dan berintegriti.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!