Ketibaan pelancong China ke Thailand turun mendadak
Persatuan Ejen Pelancongan Thailand menyifatkan penurunan itu sebagai satu krisis terbesar dalam pasaran pelancong China sejak beberapa tahun kebelakangan ini

BANGKOK – Ketibaan pelancong dari China ke Thailand terus menunjukkan penurunan drastik apabila hanya 5,833 orang dicatatkan pada 16 April lalu, angka terendah bagi tahun 2025 setakat ini.
Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding purata harian antara 15,000 hingga 20,000 orang yang direkodkan sebelum ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemain industri pelancongan negara tersebut.
Persatuan Ejen Pelancongan Thailand menyifatkan penurunan itu sebagai satu krisis terbesar dalam pasaran pelancong China sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kali terakhir berlaku kejatuhan besar adalah pada tahun 2018 selepas tragedi bot karam di Phuket yang mengorbankan 47 orang.
Bekas Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) menggesa agar strategi pengurusan reputasi segera dilaksanakan bagi memulihkan kepercayaan pelancong China terhadap Thailand.
Menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, setakat 20 April lalu, sebanyak 1.5 juta pelancong China telah memasuki negara itu, diikuti oleh pelancong dari Malaysia (1.4 juta) dan Rusia (835,385).
Semasa sambutan Festival Songkran, jumlah kedatangan pelancong China meningkat kepada 16,000 pada 11 April, namun kembali merosot pada hari-hari berikutnya.
Difahamkan, sebelum insiden penculikan melibatkan pelakon terkenal China, Wang Xing, bilangan pelancong dari negara itu jarang jatuh di bawah paras 15,000 sehari. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

