JIM tumpas kumpulan peniaga warga asing 'kebal' di Puchong

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA – Kekebalan warga asing memonopoli perniagaan di sekitar Puchong, Selangor, akhirnya kecundang apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan pada Rabu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menyerbu 24 premis perniagaan dimonopoli warga asing bermula jam 10.30 pagi.

Menurut beliau, premis perniagaan dikendalikan warga asing terdiri daripada kedai runcit, makanan dan minuman, dandanan, cucian kenderaan dan jualan pakaian.

“Berdasarkan hasil risikan selama dua hari, didapati premis perniagaan ini beroperasi tanpa rasa bimbang terhadap aktiviti penguatkuasaan yang sedang giat dijalankan agensi berkaitan.

No Image Caption

“Warga asing ini dipercayai menerima bayaran gaji bermula daripada RM50 sehari hingga RM1,500 sebulan. Kadar bayaran ini juga bergantung kepada tempoh waktu bekerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau memaklumkan, seramai 370 individu diperiksa dalam operasi itu terdiri daripada 247 lelaki dan 85 perempuan warga asing serta 38 warga tempatan.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, seramai 72 lelaki dan 22 perempuan warga asing berusia antara 23 hingga 35 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Jelasnya, warga asing tersebut merupakan warga Thailand, Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan, Yaman, Vietnam, Mesir, Palestin serta India.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi masa, salah guna permit dan lain-lain kesalahan yang melanggar undang-undang,” ujarnya.

No Image Caption

Tambahnya, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Tegasnya, JIM akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!