Pura-pura jadi pelanggan kedai makan elak dicekup

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Taktik warga asing cuba menyamar sebagai pelanggan ketika serbuan tidak berjaya mengaburi mata penguat kuasa apabila ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam operasi khas pada Isnin
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, warga asing terbabit cuba menyamar sebagai pelanggan di kedai makan bagi mengelak dicekup pegawai operasi selepas tidak sempat melarikan diri.
"Seramai 44 individu warga asing tanpa sebarang dokumen perjalanan sah telah ditahan dalam tiga operasi yang dilaksanakan di beberapa lokasi di Selangor.
"Kesemua warga asing itu ditahan menerusi Op Selera, Op Mahir dan Op Minyak yang bermula jam 2 petang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau yang juga ketua operasi tersebut berkata, sejumlah 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah diperiksa dalam operasi khas itu.
"Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun dan mereka telah dihantar ke Depot Imigresen Semenyih," katanya.
Selain itu kata beliau, sebanyak tiga majikan dikenakan tindakan dan tiga saman saksi dikeluarkan dalam operasi terlibat.
"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!