Kilang barang lusuh digempur, 22 pekerja asing ditahan

KUALA LUMPUR – Sebuah kilang memproses barang lusuh di Sungai Besi yang disyaki menggajikan pekerja asing digempur pada Selasa.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat awam selama dua minggu sebelum pasukan operasi menyerbu kilang berkenaan.
"Seramai 18 lelaki warga India dan empat lelaki warga Bangladesh yang berusia antara 23 hingga 48 tahun ditahan dalam serbuan yang bermula pada jam 11 pagi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, 12 warga India mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sah manakala tiga warga India dan dua warga Bangladesh memiliki PLKS tamat tempoh.
"Dua lagi warga India pula didapati menggunakan pas lawatan sosial (PLS) yang telah tamat tempoh. Selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah," katanya.
Jelasnya, turut dirampas lesen majlis, dokumen syarikat, sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), rekod perniagaan, 17 pasport India, dua pasport Bangladesh serta buku kehadiran pekerja.
"Kilang berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti memproses peralatan elektronik lusuh, kabel dan wayar untuk mendapatkan tembaga serta aluminium.
"Kilang itu juga disyaki menggajikan pekerja asing dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan," katanya.
Menurutnya, tempat tinggal yang disediakan dalam premis kilang tidak mendapat pengiktirafan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].
Ujarnya, kesemua tahanan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.
Selain itu, katanya, lima lelaki warga Malaysia dan dua warga India yang bekerja di kilang berkenaan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
