'Langkah Sheraton': Lembaga Disiplin PKR digesa siasat 10 individu

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) menyenaraikan sepuluh pemimpin utama sayap parti untuk dibawa kepada Lembaga Disiplin PKR kerana didakwa terlibat dengan kumpulan 'pengkhianat'.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, keputusan itu dibuat sebagai tindakan susulan daripada pemecatan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang terlibat secara langsung dalam ‘Langkah Sheraton’.

"Menjadi persoalan kepada kami dengan bukti yang ada setakat ini, beberapa Ahli MPWP Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah diberi mandat pada pemilihan parti lepas masih lagi bersama mereka dan dilihat memberi sokongan kepada mereka yang mengkhianati perjuangan parti dan Pakatan Harapan," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas perjumpaan tergempar dihadiri 14 daripada 25 Ahli MPWP yang terpilih dan menang pada pemilihan parti November 2018 lalu di Petaling Jaya hari ini.

Antara yang hadir ialah Naib Ketua Wanita, Datin Faizah Arififn; Naib Ketua Wanita, Wasanthee Sinnasamy; Exco Wanita Pusat, Raiyan Abdul Rahim.

Turut bersama, Exco Wanita Pusat, Napsiah Khamis @ Maharan, Meera Deevarajoo, Manja Matdin, Loo Voon May, Thilagawaty Selvanathan, Hasmorni Tamby, Nursiah Ismail, Mahani Moin, Zulhaidah Suboh, Monaliza Mokhtar dan Sarimah Lisut.

Sementara itu, sepuluh pemimpin yang menyatakan pendirian mereka ialah Ketua Wanita, Haniza Mohd Talha; Timbalan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi.

Selain itu turut tersenarai ialah Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat Catherine Jok Uvang @ Catherine Juk, Ginie Lim Siew Lin, Juwairiya Zulkifli, Kavitha Chandragesen, Nor Ashidah Ibrahim, Nurainie Haziqah Shafi’i, Nurul Hajar Mardhiah dan Shoba Selvarajoo.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, mereka akan menghantar senarai serta bukti yang ada ke lembaga disiplin untuk tindakan lanjut diambil.